
KUALA LUMPUR, 21 Mei 25 – Kumpulan pengundi muda lingkungan 30an beranggapan minat untuk keluar mengundi semakin terhakis selepas terbentuknya kerajaan perpaduan yang menurut mereka wujud tidak seperti yang mereka harapkan.
Graduan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) yang dikenali sebagai Aiman, 29, berkata, dia tidak mengundi pada PRU15 lalu untuk melihat Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini terpalit 47 kes di mahkamah menjadi timbalan perdana menteri.
“Memang ada kaitan rapat (hilang minat mengundi) sebab ada kawan-kawan saya rasa kecewa jadi macam ini.
“Kenapa Zahid jadi timbalan perdana menteri, dia ada kes yang banyak, daripada awal dah memang kawan-kawan saya dah kecewa. Kemungkinan besar mereka beranggapan mengundi sudah tidak membawa apa-apa makna,” katanya kepada politiko.my.
Katanya, kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) benar-benar memberikan kesan kepada mereka.
“Saya rasa kebanyakan kawan-kawan saya terutamanya selepas PRU lepas, bila PH gabung dengan BN masa itu dah memang ada banyak orang cakap apa ini, kenapa jadi macam ini.
“Kita tak undi untuk mereka berpelukan dengan DAP…nak buat macam mana, tapi kami lihat ia tak bagus, tak betul bila Umno bergabung dengan DAP,” katanya lagi.
Saiful Rahman, graduan UniSZA berumur 33 tahun pula berpandangan, kerjasama antara dua parti yang berseteru sejak puluhan itu menggelikan hati.
“Umno dan DAP lain ideologi, jadi nampak sangat macam plastik. sebab masing-masing nak duduk dalam kerajaan, tiba-tiba mesra dan kerjasama, lawak la, kita orang muda memang ketawakan aje.
“Ramai anak muda malas nak keluar mengundi dalam siri PRK, membosankan, undi pun bukan ubah kerajaan. Anak muda kalau nak mengundi, kita nak ubah kerajaan,” katanya.
Sementara itu, graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang hanya mahu dikenali sebagai Aina, 30, berkata, tidak nampak sebarang usaha dilakukan kerajaan dalam menangani isu pengangguran siswazah.
“Kami orang muda masih kalut nak tingkatkan pendapatan… akhirnya jadi TikTokers…kerajaan nak buat apa? demokrasi boleh tolong ke?,” katanya.
UMDAP merupakan satu simbol sindiran terhadap kerjasama politik UMNO dan DAP selepas terbentuknya kerajaan perpaduan. Namun demikian, sindiran tersebut seolah-olah diabsahkan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyeru rakyat untuk tidak terpengaruh dengan naratif ‘UMDap’ tersebut. @politiko.my