Editor

Kedah baru-baru ini mencuri perhatian apabila Kerajaan Negeri menuntut insentif fiskal sebanyak RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan.
Tuntutan ini bukan semata-mata soal angka, tetapi mencerminkan dilema struktural yang dihadapi negeri agrarian dalam sistem persekutuan Malaysia.
Kedah menyumbang 43% kepada Tahap Sara Diri (SSL) beras negara. Demi menjamin keselamatan makanan negara, negeri ini terus mengekalkan lebih 113,000 hektar tanah sawah padi — satu keputusan dasar yang membawa kos besar.
Kita faham bahawa status tanah pertanian hanya dikenakan cukai RM15 sehektar, jauh lebih rendah berbanding potensi pendapatan jika ditukar kepada tanah industri atau komersial (sekitar RM1,000 sehektar).
Ini bermakna Kedah secara rasional, memilih untuk tidak mengejar pembangunan demi terus menjadi sebagai ‘jantung beras’ negara. Pilihan rasional ini juga boleh dilihat sebagai suatu ‘pengorbanan besar’ kepada negara.
Dan atas rasional itu, kerajaan negeri menuntut pampasan yang setimpal yang sepatutnya boleh diperolehi jika membuat pilihan yang lain.
Pada masa yang sama, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, dilaporkan media pada 30 Jun 2024 telah menyatakan sokongan terhadap tuntutan kerajaan negeri.
Baginda menggesa Kerajaan Persekutuan agar meluluskan insentif fiskal tersebut, yang bakal digunakan untuk pembangunan negeri dan bantuan kepada petani.
Tuntutan ini turut disertakan dengan senarai projek pembangunan (wishlist) yang telah dibentangkan kepada Perdana Menteri — satu langkah yang menunjukkan usaha negeri ini disandarkan pada dokumen dasar, bukan sekadar retorik politik.
Tuntutan Kedah membuka semula perbincangan mengenai hubungan fiskal antara Kerajaan Pusat dan Negeri. Jika negeri pengeluar beras utama tidak diberi insentif yang sewajarnya, apa insentifnya untuk negeri lain mengekalkan tanah pertanian?
Isu Petros dan Petronas juga menjadi contoh sebuah negeri atau wilayah membuat tuntutan hak mereka berdasarkan kepentingan bersama.
Ini juga menimbulkan persoalan lebih besar: Adakah Malaysia memerlukan semula mekanisme agihan hasil yang lebih adil untuk negeri-negeri yang memainkan peranan strategik dalam sektor tertentu, tetapi kehilangan potensi pembangunan kerana komitmen nasional?
Tuntutan RM200 juta ini bukan sekadar permintaan bajet. Ia adalah refleksi kepada konflik antara pembangunan ekonomi dan tanggungjawab nasional. Kedah, dengan segala kekangan fiskalnya, meminta pengiktirafan – dan mungkin, akhirnya – keadilan. @editor