
KUALA LUMPUR, 5 NOV 25 — Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali wajar memikirkan sudah tiba masa untuk beliau bersara, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, pihaknya melihat Azmin lebih banyak mencetuskan huru-hara dalam mana-mana organisasi disertainya.
“Azmin boleh fikir persaraan. Aman tenteram Malaysia. Mana mana parti huru-hara bila dia masuk. Berdasarkan sejarah kita belajar ikut pengalaman,” kata Wan Saiful, ketika sesi Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Tambahnya, Azmin juga tidak mempunyai sokongan akar umbi kerana tewas ketika pemilihan parti.
“Zaman kita sekarang kebanyakan rakyat terutama generasi baru lihat cenderung politik terus terang, tak cakap belakang.
“Kita cuba gunakan cara dalaman sepenuhnya sehingga dipecat. Digantung. Nak guna cara mana lagi. Bukan kita tak guna proses itu tapi bila disekat dengan kuasa inilah yang berlaku.
“Yang guna kuasa ini tiada sokongan akar umbi. Tak menang pemilihan pun,” katanya.
Sebaliknya, kumpulan yang dikenakan tindakan disiplin dalam Bersatu mempunyai mandat dan sokongan akar umbi.
“Kita ada mandat ahli, tapi bila cara dalaman tak berjaya kita terpaksa cakap di luar,” kata Wan Saiful.
Selain itu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin katanya, perlu berjiwa besar untuk turut sama melepaskan jawatan sekiranya mahu melihat perubahan dalam Bersatu.
“Kalau Muhyiddin betul jiwa besar kita merayu, cuba utamakan parti, letak diri belakang sikit beri ruang parti ke depan
“Saya dengar sendiri banyak kali dia sebut dia nak mengundur diri. Masalahnya tak buat. Akibatnya lagi banyak orang mengumpat daripada cakap depan depan,” kata Wan Saiful. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.