FIFA Denda FAM, Tujuh Pemain Digantung Setahun

KUALA LUMPUR, 27 Sep 25 – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan hukuman berat terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain selepas didapati bersalah menggunakan dokumen palsu ketika proses pendaftaran kelayakan pemain.

Dalam kenyataan rasmi di laman Inside FIFA, Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu memutuskan FAM melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen untuk membolehkan beberapa pemain warisan beraksi bersama skuad kebangsaan.

FAM dikenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (sekitar RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit masing-masing didenda 2,000 franc Swiss. Mereka juga digantung selama 12 bulan daripada menyertai semua aktiviti bola sepak.

Tujuh pemain berkenaan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

FIFA turut memaklumkan isu kelayakan pemain-pemain ini untuk mewakili Malaysia akan dirujuk kepada Tribunal Bola Sepak FIFA bagi penelitian lanjut. Proses itu akan menentukan status akhir mereka dalam skuad kebangsaan.

Menurut kenyataan itu lagi, FAM dan semua pemain diberi tempoh 10 hari untuk memohon keputusan penuh bertulis atau mengemukakan rayuan. Setakat ini, FAM belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung hukuman tersebut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share