Hamzah Jadi Nadi PN Saat Muhyiddin Didakwa, PAS Diberi Kata Dua, Kata Wan Fayhsal

KUALA LUMPUR, 21 Okt 2025 — Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, disifatkan sebagai antara tokoh penting yang menyelamatkan Perikatan Nasional (PN) daripada perpecahan sewaktu Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berdepan pertuduhan kes Jana Wibawa.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendedahkan bahawa dalam tempoh genting itu, Hamzah berperanan sebagai “bapa” kepada wakil rakyat Bersatu dan menjadi penggerak utama yang mengekalkan sokongan PAS dalam PN.

“Ketika itu Tan Sri (Muhyiddin) sudah berdepan pertuduhan Jana Wibawa dan moral beliau agak menurun. Hamzah, sebagai setiausaha agung PN, memainkan peranan yang sangat efektif, beliau berjaya satukan jentera PAS dan Bersatu. Sebab itulah kita kekal kuat,” katanya dalam podcast bersama Datuk Zaid Ibrahim.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, PAS ketika itu berdepan dilema, sama ada kekal dalam PN atau kembali ke pangkuan Muafakat Nasional (MN) yang dipelopori Umno. Namun, keupayaan Hamzah berunding dan meyakinkan pimpinan PAS menjadi faktor utama parti Islam itu kekal bersama PN.

“Orang yang menyelamatkan Bersatu dan memastikan PAS kekal dalam PN adalah Hamzah. Jasa beliau cukup besar. Sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, beliau tahu arah politik pasca pilihan raya dan berjaya yakinkan PAS tentang kelebihan kekal dalam PN, termasuk pembahagian kerusi yang adil,” jelasnya.

Wan Ahmad Fayhsal turut menyifatkan Hamzah sebagai pemimpin yang berwibawa dan menepati janji, apabila selepas pilihan raya, beliau memastikan agihan kerusi dibuat mengikut persetujuan awal.

“Bila dah menang, sosok Hamzah dilihat lebih kredibel sebab dia kotakan janji. Itu yang buat orang hormat,” katanya.

Tambahnya lagi, peranan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang turut menyerlah apabila beliau menanggung kos operasi jentera di Parlimen dan pejabat PN, sekali gus menunjukkan komitmen tinggi terhadap blok pembangkang.

“Beliau tanggung kos harian jentera Parlimen dan pejabat PN. Majoriti Ahli Parlimen PN sokong beliau sebagai ketua pembangkang. Ketika itu Tan Sri Muhyiddin tumpu pada kes mahkamah, jadi Hamzah yang banyak ke depan,” ujarnya.

Namun begitu, Fayhsal mengakui, kejayaan dan keaktifan Hamzah itu menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan penyokong Muhyiddin.

“Bila dia tampil ke depan, ada yang tegur supaya jangan ‘overshadow’ presiden. Itu yang menyebabkan pembangkang kelihatan lemah waktu itu,” katanya lagi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share