Haniff Khatri: Hanya Saman Sivil Boleh Bersihkan Nama PMX Dalam Isu Bloomberg

KUALA LUMPUR, 5 Nov 2025 – Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menegaskan bahawa keputusan pihak pendakwa raya untuk menutup (NFA) siasatan terhadap laporan Bloomberg yang mendakwa Perdana Menteri campur tangan dalam urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak bermakna laporan media itu bebas daripada unsur fitnah.

Menurut beliau, keputusan NFA oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) hanya menunjukkan kekurangan bukti untuk tindakan jenayah, bukan penafian bahawa laporan Bloomberg itu benar atau palsu dari sudut undang-undang sivil.

“Keputusan NFA tidak bermaksud Bloomberg tidak memfitnah. Ia hanya bermaksud bukti tidak mencukupi untuk dakwaan jenayah. Namun, jika Perdana Menteri tidak mengambil tindakan sivil terhadap Bloomberg, rakyat berhak membuat kesimpulan bahawa laporan itu bukan fitnah,” katanya kepada politiko, hari ini.

Haniff menjelaskan, di bawah undang-undang, Perdana Menteri masih mempunyai tempoh enam tahun dari tarikh laporan disiarkan untuk memfailkan saman fitnah sivil terhadap Bloomberg — yang kini berbaki sekitar empat tahun.

“Perkara ini hanya boleh diselesaikan dengan jelas jika Perdana Menteri membawa tindakan fitnah di mahkamah sivil. Jika beliau tidak berbuat demikian, persepsi awam akan cenderung menganggap dakwaan Bloomberg itu berasas,” ujarnya.

Katanya lagi, dua kes utama yang menjadi tumpuan dalam laporan Bloomberg tersebut ialah dakwaan campur tangan Perdana Menteri terhadap siasatan melibatkan Allahyarham Tun Daim Zainuddin serta isu ketiadaan tindakan terhadap bekas pegawai politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.

“Sekiranya tiada tindakan sivil diambil, rakyat berhak untuk membuat rumusan bahawa laporan Bloomberg itu tidak boleh dikatakan fitnah,” tegas Haniff.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan di Parlimen bahawa AGC telah mengklasifikasikan siasatan polis terhadap laporan Bloomberg sebagai “tiada tindakan lanjut” kerana kekurangan bukti untuk meneruskan pendakwaan. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share