
KUALA LUMPUR, 16 Apr 25 – Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh, YB Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menyifatkan, pengumuman kerajaan menurunkan harga Benih Padi Sah (BPS) sekadar gimik malah jauh tersasar dari situasi sebenar.
Dalam satu kenyataan, Ashraf berkata pengumuman tersebut digambarkan seolah-olah sebagai inisiatif membela pesawah ini hakikatnya jauh tersasar daripada situasi sebenar yang dihadapi oleh golongan pesawah.
“Selaku pentadbir dalam kawasan jelapang padi antara yang terluas dalam negara dan mewakili suara segenap pesawah, pengumuman yang digambarkan seolah-olah sebagai inisiatif membela pesawah ini hakikatnya jauh tersasar daripada situasi sebenar yang dihadapi oleh golongan pesawah di lapangan.
“Malah tidak lebih sekadar gimik murahan untuk menutup kegagalan kerajaan memahami realiti nasib pesawah.
Tambah beliau, sejak penarikan subsidi Diesel dibawah kerajaan Madani, golongan pesawah telah menanggung beban kenaikan kos yang pelbagai secara tidak sekata dalam proses penghasilan padi berpunca dari kesan rantaian yang sehingga kini masih tidak mampu mengimbangi nilai keuntungan pesawah yang tak seberapa.
“Harga benih padi naik +65.7% (RM35 → RM58) selepas Kerajaan Madani ambil alih, tetapi harga lantai belian padi hanya naik +25% (RM1,200 →RM1,500). Pesawah tanggung bermacam lagi kenaikan kos input dan pengurusan padi yang tidak sejajar imbangan sejak penarikan subsidi Diesel.
“Penurunan terbaru (yang diumum semalam) hanya -3.45% — turun RM2 sahaja daripada lonjakan asal RM23. Katanya.
Menurutnya, nilai jualan benih pada harga RM56 kini mencecah RM2,800 per tan berbanding harga lantai belian padi RM1,500 per tan yang menjadikan jurang keuntungan pengilang & pemborong benih jauh lebih besar daripada margin pendapatan pesawah.
“Persoalannya jelas, adakah ini dasar pembelaan pesawah? Atau dasar mengenyangkan tauke benih?
“Jika benar kerajaan mendakwa mahu membela pesawah, mengapa kadar kenaikan harga benih jauh lebih tinggi berbanding kadar kenaikan harga padi yang dibeli daripada pesawah sendiri?
“Realitinya ini bukan reformasi pertanian, ini eksploitasi moden terhadap petani kecil! Tegasnya.
“Jika mengikut kadar nisbah asal (sebelum kerajaan Madani), iaitu: RM35 benih padi pada harga lantai belian padi RM1,200/tan. Maka, untuk harga lantai semasa pada RM1,500/tan, harga maksima benih padi yang sewajarnya adalah: RM43.00 bagi setiap 20kg.
Dalam kenyataan yang sama, beliau yang juga Koordinator Gerakan Melawan Penindasan Petani (GEMPITA), menuntut kerajaan untuk menyemak semula struktur harga benih padi agar selaras dengan margin keuntungan pesawah, bukan margin pengilang. Penetapan harga benih padi juga mestilah selaras dan berpadanan dengan kadar kenaikan harga lantai belian padi.
“Wujudkan Jawatankuasa Pemantauan Kos Input Pesawah peringkat nasional dengan penyertaan wakil pesawah sendiri. Ujarnya.
Baru-baru ini, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan harga kawalan maksimum benih padi sah (BPS) akan diselaraskan kepada RM52 di peringkat borong dan RM56 bagi runcit per kampit 20 kilogram (kg) di Semenanjung berkuat kuasa esok.
KPKM dalam kenyataan memaklumkan sebelum ini harga kawalan maksimum BPS di peringkat borong ialah RM54 manakala RM58 bagi runcit per kampit 20kg. @politiko.my