Kerangka Kurikulum Persekolahan PN

Ketika membahaskan Belanjawan 2026 pada 14 Oktober lalu, saya menerangkan Kerangka Kurikulum Persekolahan PN. Ia memperinci Rancangan Reformasi Pendidikan PN (2024) dan menyokong tawaran-tawaran pendidikan dalam Gagasan Belanjawan PN yang dibentang Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin sehari sebelumnya.

Belanjawan 2026 memperuntukkan RM115 juta untuk latihan guru-guru berkaitan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) dan STEM.

Masalahnya KP2027 belum diumumkan. Saya difahamkan KP2027 diperlukan kerana kitaran kurikulum sedia ada telah selesai. Ia akan dimulakan di peringkat pra-sekolah pada 2026 dan terlaksana sepenuhnya (sehingga tingkatan 5) pada 2032.

Bagi PN, dengan mengambilkira ta’dib (pendidikan sebenar) sebagai falsafahnya, matlamat pendidikan, termasuklah kurikulum persekolahan, ialah melahirkan insan baik, iaitu manusia beradab mulia, bukannya manusia biadab atau sekadar pekerja baik.

Ini merujuk pembinaan adab, iaitu disiplin jasad, akal dan roh (Naquib al-Attas), bukannya sekadar karakter. Kerana karakter dalam makna asalnya merujuk topeng yang menggambarkan sifat yang berubah-ubah.

Adab menjadi asas pembinaan ilmu dan kemahiran.

Kita juga ingin melahirkan pelajar-pelajar sekolah dan IPT/universiti serta graduan-graduan yang mampu bersaing di peringkat global.

Dari segi design kurikulum, model insan baik ialah Rasulullah, iaitu teladan terbaik. Kemuncaknya ialah peringkat universiti. Dengan model ini, kita design kurikulum mengikut tahap-tahapnya, iaitu dari pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah sehingga universiti.

Untuk memuluskan/melicinkan prosesnya, kita sepatutnya mempunyai satu pelan pendidikan sahaja, bukannya satu untuk KPM dan satu untuk KPT.      

Dari segi pendekatan pendidikan, kita harus lebih progresif. Antara lain, kita perlu menumpu kepada:

  • perkara-perkara yang benar-benar fundamental (perkembangan diri bersepadu, bertanggungjawab, amanah, budaya ilmu); meningkatkan prestasi pelajar (literasi dan numerasi, nilai estetika serta kemahiran-kemahiran berfikir, berkomunikasi, bersosialisasi); memfasilitasi high achievers/berbakat tinggi, menangani under-achievers/late bloomers, menghapuskan keciciran dan menyusun-semula nisbah STEM.
  • meningkatkan ‘pendidikan teknologi digital yang manusiawi’, iaitu keseimbangan antara menguasai dan mendepani teknologi terkini serta menangani isu-isu kemanusiaan.  
  • pelajar-pelajar yang memiliki pandangan sarwa yang harmoni dan global, iaitu perpaduan tempatan dan pengantarabangsaan yang berkait dan komprehensif.
  • memperkasa tulisan jawi.
  • memperkasa kokurikulum (sukan, seni budaya, debat, teknologi, keusahawanan).

Dari segi tahap-tahap persekolahan dan fokus setiap tahap, kita perlu jelas objektif-objektif setiap tahap dan apa mata-mata pelajarannya. Kita perlu mengurangkan jumlah mata pelajaran dan supaya kandungan setiap mata pelajaran tidak lagi terlalu berat. Juga mengurangkan kerja rumah.

Sekolah mesti menjadi tempat yang selamat – riang dan girang, bukannya tegang dan diserang (bunuh, rogol, cabul, buli) sehingga menimbulkan krisis keselamatan pelajar-pelajar sekolah.

Kokurikulum perlu diperluaskan skopnya dan diberi pemberatan yang lebih. Perlu dikeluarkan sijil kokurikulum yang menilai keterlibatan dan pembelajaran sebenar, bukannya sekadar sijil kehadiran. Nisbah akademik:kokurikulum yang kini 90:10 perlu diubah kepada 70:30.

Jadi, pentaksiran tidaklah terlalu memberatkan akademik. Bagi meningkatkan pemberatan kokurikulum, di sinilah relevannya pendirian Jawatankuasa Parlimen Berkaitan Kementerian (JKPK) Tentang Pembinaan Bangsa, Pendidikan dan Sumber Manusia supaya PLKN dibatalkan. Aktiviti-aktivitinya boleh diserapkan di sekolah dan IPT/universiti.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota & Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional

Rencana ini telah diterbitkan di Sinar Harian, 23 Okt 2025

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share