
KUALA LUMPUR, 24 Okt 25 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan melihat kandungan Akuan Bersumpah (SD) asli yang dikumpulkannya.
Jelas bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu, beliau berusaha menjelaskan kepada Muhyiddin dua hari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu namun tidak dilayan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu.
“Saya bawa SD itu ke mesyuarat. Selepas mesyuarat berakhir, saya terus berjalan ke arah Muhyiddin…ada video (menunjukkan) saya bercakap dengannya sambil memegang kertas itu.
“Saya kata ‘Tan Sri, bolehkah kita ke pejabat sekejap? Saya nak tunjukkan dokumen ini.’
“Tetapi dia jawab, ‘Tak apa, tak apa. Saya akan panggil bila ada masa’.”
“Namun ia tidak berlaku,’’ kata Wan Saiful, dalam siaran audio siar Trick Lama bersama Pengarah Eksekutif Kumpulan Big Boom Media, Datuk Ahirudin Attan dan Ketua Pengarang Scoop, Terence Fernandez, baru-baru ini.
Ketika menyampaikan ucapan dasar presiden, Muhyiddin bagaimanapun membangkitkan isu berkenaan pemimpin parti mengumpul SD yang kononnya didakwa untuk menjatuhkannya.
“Muhyiddin enggan mendengar kandungan sebenar SD itu tetapi menyebutnya dalam PAT dengan menyatakan ‘saya dengar ada usaha untuk menjatuhkan saya dengan mengumpul SD.’
“Itu tidak benar,” jelas Wan Saiful lagi.
Sedangkan, kata Wan Saiful, SD tersebut dikumpulkan daripada pemimpin parti bertujuan menyampaikan mesej agar usul untuk menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri tidak dibawa ke dalam perbahasan ketika PAT.
“Tujuan SD itu adalah untuk meminta Muhyiddin dan kumpulan terdekatnya supaya tidak membawa usul yang boleh menjejaskan hubungan kita dalam Perikatan Nasional (PN).
“Kita ini parti kecil, tetapi mahu membuat tuntutan secara terbuka, memaksa rakan-rakan kita dalam PN untuk akur dengan kehendak kita,” katanya.
Usaha itu dilakukannya didorong untuk menghormati PAS kerana sebagai sebuah ‘parti kecil’, Bersatu jelas Wan Saiful tidak berada dalam kedudukan yang selayaknya membuat tuntutan secara terbuka yang boleh ‘mencetuskan kemarahan’ parti Islam tersebut.
Menurut Wan Saiful perkara itu juga sepatutnya dibincangkan secara tertutup.
Lembaga Disiplin Bersatu kemudian mengambil keputusan memecat keahlian Wan Saiful bersama tiga lagi ketua bahagian dipercayai berkaitan SD tersebut.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut digantung keahlian selama sepenggal. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.