
KUALA LUMPUR, 24 Okt 25 – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi layak untuk diangkat sebagai perdana menteri gabungan pembangkang itu, kata dua pemimpin yang dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Bersatu.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung keahlian Bersatu selama sepenggal berkata, Muhyiddin membuat keputusan yang lemah dan mengamalkan pilih kasih terhadap sesetengah pemimpin.
“Saya minta maaf, saya sayang Tan Sri Muhyiddin, beliau yang membawa saya ke dunia politik, tetapi beliau tidak lagi layak dan sesuai untuk menjadi perdana menteri Malaysia yang seterusnya,” kata Wan Fayhsal, dalam sesi audio siar Trick Lama yang dikendalikan Pengarah Eksekutif Kumpulan Big Boom Media, Datuk Ahirudin Attan dan Ketua Pengarang Scoop, Terence Fernandez.
Jelas bekas ketua Armada Bersatu itu, PN memerlukan ‘wajah baharu’ serta perubahan kepimpinan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang, dengan memberi isyarat Muhyiddin kini menjadi liabiliti politik.
Malah, beliau mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu turut menganggu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sehingga menyebabkan PN kelihatan lemah.
Wan Fayhsal turut mendedahkan sentimen sama dikongsi PAS, dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengulangi dua kali kenyataan berlapik mengatakan keutamaan harus diberi kepada pemimpin berusia di bawah 70 tahun dan bebas daripada kes mahkamah untuk memimpin negara.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan pula menegaskan momentum Bersatu hanya meningkat apabila Hamzah memainkan peranan yang lebih menonjol.
Jauh berbeza dengan tempoh ketika pembangkang dianggap lemah di bawah kepimpinan Muhyiddin, katanya.
“Ketika orang berkata PN lemah, yang memimpin waktu itu ialah Muhyiddin,” kata Wan Saiful.
“Tetapi apabila Hamzah tampil ke hadapan dan mula menyusun gerakan kami di dewan rakyat… momentum meningkat. Tiba-tiba semangat (Muhyiddin) kembali, dan berkata ‘saya mahu jadi perdana menteri lagi’.”
” Ini bukan soal peribadi, kita tidak boleh menafikan jasa Muhyiddin kepada parti dan negara.
“Tetapi yang kita bincangkan ialah bagaimana untuk melangkah ke hadapan,” kata Wan Saiful.
Lembaga Disiplin Bersatu memutuskan untuk memecat Wan Saiful daripada parti manakala Wan Ahmad Fayhsal digantung keahlian selama sepenggal.
Turut dipecat adalah tiga lagi ketua bahagian yang bersama dengan kedua-dua ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) itu. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.