
KUALA LUMPUR, 4 Sep 25 – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyatakan penghargaan terhadap keterbukaan UMNO yang menubuhkan Pasukan Khas bagi meneliti dan memperhalusi Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, langkah itu menunjukkan kesediaan UMNO mengkaji secara mendalam implikasi undang-undang tersebut terhadap rakyat.
“PAS yakin melalui wadah kesatuan Islam dan Melayu sahajalah kita dapat menyelamatkan negara daripada sebarang kerangka undang-undang yang berpotensi menzalimi rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, PAS sedia menyertai sebarang perbincangan atau konvensyen berkaitan, khususnya yang melibatkan parti-parti Melayu, sekiranya dijemput.
PAS juga menegaskan bahawa suara kolektif umat Melayu-Islam perlu diberi perhatian serius dalam menggubal dasar atau undang-undang pembangunan bandar. Ia penting bagi memastikan kepentingan rakyat bawahan, keadilan sosial dan keseimbangan pembangunan tidak diabaikan.
“Insya-Allah, PAS akan terus komited memperjuangkan kepentingan rakyat bersama mana-mana pihak yang ikhlas dalam agenda penyatuan ummah serta mempertahankan kesejahteraan negara,” tambah Ahmad Fadhli.
Dalam Sidang Dewan baru-baru ini, RUU PSB, yang telah dibentangkan untuk bacaan kedua, telah ditangguhkan perbahasan dan pengundian ke persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan pada bulan Oktober ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.