Putra Persoal DNAA: Rakyat Biasa Ada Hak Sama atau Hanya Untuk Elit Politik?

KUALA LUMPUR, 10 Sep 25 – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mempersoalkan sama ada perintah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) hanya menjadi “hak istimewa” pemimpin politik berprofil tinggi, sedangkan rakyat biasa jarang sekali menikmati kelonggaran undang-undang yang sama.

Pemangku Ketua Wira PUTRA, Dr Mohamad Izwan Zainal, berkata keputusan mahkamah yang memberikan DNAA kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dalam kes Yayasan Akalbudi menimbulkan keraguan besar terhadap prinsip keadilan sama rata.

“Rakyat biasa tidak memiliki keistimewaan seperti pemimpin berkuasa. Mereka biasanya berdepan perbicaraan pantas, sukar menangguh kes, dan jarang sekali mendapat pelepasan seperti DNAA.

“Pertanyaan kami kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), adakah rakyat juga boleh menggunakan DNAA?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini berdepan kes membabitkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram Yayasan Akalbudi pula berakhir dengan DNAA pada 4 September 2023.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menerima permohonan pendakwaan untuk memberhentikan prosiding, tetapi menegaskan DNAA bukan pembebasan penuh dan pertuduhan boleh difailkan semula pada bila-bila masa.

Sehubungan itu, Putra mencadangkan reformasi undang-undang untuk memperjelaskan penggunaan DNAA, meningkatkan ketelusan AGC dengan memberi justifikasi penuh terhadap setiap keputusan, serta memperkukuh kebebasan institusi kehakiman daripada pengaruh eksekutif.

“Malaysia tidak boleh kelihatan seperti mempunyai sistem dua darjat. Jika DNAA boleh diguna pakai untuk pemimpin berprofil tinggi, rakyat biasa juga sepatutnya mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang,” kata Dr Mohamad Izwan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share