Rakan KKM ‘Kastakan’ Rakyat Ikut Poket, Dakwa Putra

KUALA LUMPUR, 23 SEPT 25 — Skim Rakan KKM yang dijalankan di hospital kerajaan mengkhianati rakyat dengan memisahkan perkhidmatan kesihatan berdasarkan keupayaan kewangan pesakit, dakwa Putra.

Ketua Wirawati Putra Hafizah Jamaludin mendakwa, skim berkenaan meminggirkan pesakit miskin manakala pesakit yang berkemampuan akan diberikan keutamaan rawatan.

“Pisah rakyat ikut poket, hospital kerajaan kini dijadikan medan kasta. Kaya dipersilakan, miskin dipinggirkan. Apa guna hospital kerajaan kalau rakyat bawahan tetap jadi mangsa?

“Khianat prinsip perkhidmatan awam. Hospital kerajaan lahir untuk keadilan, bukan untuk jadi syarikat cari untung. Skim ini ibarat menjual maruah negara kepada kapitalis kesihatan!,” dakwanya, dalam satu kenyataan.

Hafizah berkata, sistem Rakan KKM sebenarnya menambah luka kepada sistem yang sedia ada terbeban dengan perkhidmatan premium.

“Tambah luka pada sistem sakit. Doktor sudah terbeban, rakyat sudah menderita, tapi kerajaan tambah lagi tekanan dengan ‘pesakit premium’. Inilah langkah gila yang membunuh semangat kesihatan awam!

“Buka pintu rasuah dan salah guna. Bila ruang keuntungan dibuka, akan ada tangan-tangan gelap yang mengaut laba, manakala pegawai kontrak dan pelatih jadi hamba moden dalam sistem,” dakwanya.

Sehubungan itu, Putra katanya membantah Rakan KKM dan sedia turun ke jalanan menyatakan bantahan tersebut

“Kesihatan awam adalah hak rakyat dan Putra bersumpah tidak akan berdiam diri melihat hospital kerajaan dijadikan padang dagang dan bukan untuk berkhidmat pada rakyat secara adil dan sama rata,” katanya.

Terdahulu, beberapa pihak, termasuk NGO seperti Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) dan Ahli Parlimen Dr. Zulkafperi Hanapi, menuduh Rakan KKM sebagai satu bentuk privatisation in disguise.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Kalwinder Singh Khaira, menyuarakan kebimbangan bahawa Rakan KKM boleh merosakkan prinsip Universal Health Coverage (UHC) apabila pesakit kaya mendapat akses lebih pantas dan selesa melalui program ini, sementara golongan kurang berkemampuan mungkin terpaksa menunggu lebih lama. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share