
KUALA LUMPUR, 23 Jul 25 – Cadangan pengenalan akta baharu yang berpotensi mewajibkan pendaftaran MyDigital ID menimbulkan kegusaran rakyat berkenaan isu keselamatan data peribadi, kata Gerakan.
Ketua Penerangan Gerakan Wendy Subramaniam berkata, parti itu memandang serius perkara itu walaupun pengesahan identiti digital adalah langkah ke hadapan dalam dunia digital masa kini.
“Beberapa peristiwa lalu menunjukkan bahawa terdapat insiden kebocoran data, yang menjejaskan kepercayaan umum terhadap inisiatif seperti MyDigital ID.
“Persoalan utama, apakah kerajaan benar-benar bersedia untuk menangani risiko kebocoran data peribadi apabila sistem ini diwajibkan kepada semua rakyat?,” katanya, dalam satu kenyataan.
Susulan itu Gerakan mempersoalkan jaminan MyDigital ID tidak akan mengalami nasib yang sama, atau lebih teruk, apabila diguna pakai secara meluas.
“Insiden gangguan sistem autogate di Kompleks CIQ Johor baru-baru ini, yang dikatakan berpunca daripada isu integrasi sistem, menunjukkan betapa rentannya infrastruktur digital negara.
“Dengan hanya 2.8 juta rakyat mendaftar setakat suku kedua 2025, jelas bahawa rakyat masih skeptikal terhadap sistem ini.
Katanya, pelaksanaan tergesa-gesa tanpa jaminan keselamatan, ketelusan pengendalian data, dan ketahanan infrastruktur hanya akan meningkatkan risiko teknikal, sekaligus menjejaskan kepercayaan rakyat dan menimbulkan ketidakpuasan awam.
Wendy sehubungan mendesak agar kerajaan menjalankan audit keselamatan siber secara bebas ke atas sistem MyDigital ID, dan mendedahkan secara telus langkah-langkah mitigasi terhadap sebarang kemungkinan kebocoran atau penyalahgunaan data.
Selain itu, kerajaan juga katanya perlu memberi jaminan perlindungan undang-undang terhadap hak privasi rakyat sebelum sebarang penguatkuasaan mandatori dilakukan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.