Tanah Sempadan Sabah-Kalimantan : Siapa Bercakap Benar, PMX atau Pegawai Kanan Indonesia? – PUTRA

KUALA LUMPUR | 3 Feb 26 — Percanggahan kenyataan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan pegawai kanan kerajaan Indonesia mencetuskan persoalan serius mengenai status 5,207 hektar tanah di sempadan Sabah–Kalimantan, sekali gus membangkitkan kebimbangan berkait kedaulatan negara.

PUTRA dalam satu kenyataan mempersoalkan siapa sebenarnya bercakap benar, apabila PMX menafikan dakwaan kononnya wilayah Malaysia telah dimasukkan ke dalam Indonesia dan menyifatkannya sebagai fitnah, namun video tular menunjukkan Setiausaha Badan Nasional Pengelola Perbatasan (BNPP) Indonesia, Komjen Pol Makhruzi Rahman, menyatakan secara terbuka bahawa wilayah Malaysia telah masuk ke Indonesia dengan keluasan yang besar.

“Rakyat berhak mengetahui kedudukan sebenar berdasarkan fakta sahih, bukan sekadar kenyataan politik,” kata Ketua Penerangan Parti PUTRA, Shahrulufti Sharif.

Menurutnya, kenyataan terbuka oleh pegawai kanan Indonesia itu bukan bersifat spekulatif atau laporan media sosial semata-mata, sebaliknya datang daripada institusi rasmi yang bertanggungjawab mengurus hal ehwal sempadan negara Indonesia.

Justeru, percanggahan ini disifatkan sebagai krisis kepercayaan yang serius terhadap penafian kerajaan Malaysia.

“Percanggahan ini menimbulkan persoalan besar: siapa yang bercakap benar? Rakyat berhak mengetahui kedudukan sebenar berdasarkan fakta sahih, bukan sekadar kenyataan politik. Katanya.

Sehubungan itu, PUTRA mendesak Kementerian Komoditi dan Alam Sekitar segera menjelaskan status sebenar tanah seluas 5,207 hektar yang dipertikaikan, selain menuntut Wisma Putra mendedahkan secara terbuka kedudukan rundingan persempadanan darat Malaysia–Indonesia.

Selain itu, Duta Besar Malaysia di Jakarta turut digesa membuat kenyataan rasmi bagi mengesahkan benar atau tidak dakwaan tersebut, agar media Indonesia tidak terus membentuk naratif sepihak yang merugikan Malaysia.

“Isu kedaulatan negara tidak boleh dikompromi. Penjelasan rasmi mesti diberikan segera supaya rakyat tidak terus dibebani ketidakpastian,” tegas beliau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak keras tuduhan pembangkang bahawa kerajaan Malaysia telah menyerahkan lebih 5,000 hektar tanah di sempadan Sabah-Kalimantan kepada Indonesia, menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Dakwaan itu disuarakan sebelum ini oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang menggesa supaya perkara tersebut dibahaskan di Parlimen kerana ia melibatkan kedaulatan negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share