
Wira Perkasa Malaysia memandang serius beberapa tindakan dan keputusan Kerajaan Madani yang semakin jelas merugikan bangsa Melayu, melemahkan institusi Bumiputera serta mengganggu-gugat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
UMNO sebagai salah satu parti utama dalam kerajaan perlu tampil bertanggungjawab. Segala ketirisan dan pengabaian terhadap hak-hak orang Melayu hari ini berlaku dengan persetujuan dan penglibatan UMNO sendiri. Tidak boleh lagi ada alasan untuk membisu atau bersembunyi di sebalik alasan kestabilan politik.
Lebih membimbangkan, UMNO dilihat semakin hanyut dalam kerakusan kuasa sehingga sanggup mengorbankan asas perjuangan demi kedudukan dalam kabinet.
Sikap tunduk dan kompromi terhadap parti-parti yang menolak agenda Melayu-Islam adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah rakyat Melayu yang pernah memberikan kepercayaan penuh kepada mereka.
Antara Keputusan Kerajaan Madani yang Merugikan Orang Melayu:
- Pengurangan kuota dan peluang kontraktor Bumiputera dalam projek kerajaan.
- Penstrukturan semula Tabung Haji yang menimbulkan persoalan terhadap pengurusan aset umat Islam.
- Peruntukan tidak seimbang antara sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan/agama.
- Pemotongan atau penggabungan program ekonomi Bumiputera secara senyap tanpa hala tuju jelas.
- Pelantikan individu anti-agenda Melayu-Islam dalam institusi kerajaan.
- Penyisihan Bahasa Melayu dalam majlis rasmi dan urusan kerajaan.
- Peningkatan pengaruh asing dalam dasar-dasar negara yang menyentuh budaya dan pendidikan.
Jika UMNO benar-benar masih memperjuangkan nasib orang Melayu, hanya satu langkah tegas yang mampu menyelamatkan maruah bangsa ini — keluar daripada Kerajaan Madani yang semakin jelas tidak menghormati asas pembentukan negara ini.
Selagi UMNO terus bersama kerajaan ini, mereka akan dilihat sebagai pengkhianat kepada bangsa sendiri. UMNO tidak boleh berdiri di dua kaki: satu di pentas kuasa, dan satu lagi kononnya di sisi rakyat. Rakyat sudah muak dengan sandiwara politik
Wira Perkasa Malaysia menegaskan bahawa tugas mempertahankan hak Melayu dan Islam adalah satu amanah nasional, bukan semata-mata isu politik.
Ketika suara rakyat semakin lantang menuntut keadilan dan pembelaan, UMNO seharusnya menjadi pelindung kepada asas kenegaraan, bukannya bersubahat meruntuhkannya dari dalam.
Kami mengajak seluruh rakyat, khususnya generasi muda Melayu, untuk bangkit dan bersatu mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara.
Bozz Jebat merupakan Ketua Wira Perkasa Malaysia
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.