Wan Fayhsal Dedah Pemilihan Armada ‘Kotor’, Dakwa Proses Tak Ada Integriti

Foto – The Zaid Ibrahim Podcast

KUALA LUMPUR, 21 Okt 25 – Bekas Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendedahkan bahawa proses pemilihan sayap pemuda parti itu baru-baru ini didakwa berlangsung secara “kotor” dengan pelbagai bentuk manipulasi yang mencemarkan integriti parti.

Dalam satu rakaman podcast bersama Datuk Zaid Ibrahim, Wan Ahmad Fayhsal mengakui beliau bangkit menentang ketidaktelusan tersebut dan menegur Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, secara dalaman.

“I have to be frank with this. It was dirty. This election was dirty. A lot of manipulation happened. I stood up and told the president, this is not right,” katanya.

Menurut beliau, dalam pemilihan tersebut, calon yang diumumkan menang iaitu Ahli Parlimen Gombak, YB Hilman Idham, sebenarnya tewas berdasarkan kiraan undi awal yang dibuat di peringkat bahagian.

“The one yang menang ni, YB Hilman ni sebenarnya kalah. Kami kira semua bahagian, he lost actually,” dedahnya sambil menyifatkan keputusan akhir berubah selepas beberapa bahagian dibatalkan oleh Jabatan Pemilihan Parti.

Fayhsal mendakwa pembatalan itu melibatkan bahagian-bahagian yang menyokong calon lain, Akmal Zahin, sekaligus menimbulkan tanda tanya terhadap asas keputusan parti.

“Pembatalan undi berlaku dengan alasan kononnya tiada bukti sahih. Tapi bagi saya, itu tindakan paling teruk dalam sejarah pemilihan,” tegasnya.

Beliau menambah, isu itu tidak pernah dibawa ke media sosial sebaliknya dibincang secara dalaman antara pimpinan utama Bersatu.

“Saya tak pernah bawa ke Facebook atau media. Saya hanya suarakan secara dalaman kepada presiden,” katanya.

Ekoran kelemahan tersebut, katanya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kemudian mencadangkan pengetatan prosedur pemilihan dengan mewajibkan borang penjumlahan undi (Borang K-12) serta bukti bergambar dan video bagi mengesahkan kesahihan mesyuarat cawangan.

Cadangan itu bagaimanapun ditentang oleh sebahagian pimpinan tertinggi parti yang bimbang langkah itu “terlalu telus”.

“Ada pihak atasan tak setuju. Mereka kata tak perlu ambil gambar atau tandatangan borang. Saya tak faham alasan mereka. Dalam pilihan raya umum pun semua bukti ada, kenapa dalam parti tidak?” soalnya.

Fayhsal menyifatkan tentangan terhadap cadangan Hamzah itu sebagai usaha melemahkan pengaruh Timbalan Presiden tersebut dalam parti, khususnya menjelang pemilihan Majlis Tertinggi Bersatu.

“Actually, that was an attempt to diffuse Datuk Seri Hamzah’s influence in the party,” katanya.

Oktober lalu, Pemilihan bagi Jawatan Ketua Armada Bersatu dimenangi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham dengan perbezaan 170 undi berbanding pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir dalam pemilihan parti itu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share