Datuk Seri memaklumkan tidak mendapat perbicaraan yang adil, tetapi telah dipecat daripada Bersatu. Apa yang Datuk Seri maksudkan? Adakah rayuan telah dikemukakan?
Aduannya ialah saya menyerang dan mencadangkan supaya Presiden meletak jawatan dan mencemar imej Presiden dan parti.
Pada 6 November 2025, saya telah menghadiri Sesi Perjumpaan Bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Lembaga Disiplin (LD), di mana saya mengemukakan tiga tuntutan, iaitu (1) berkaitan konflik kepentingan AJK LD, (2) tiadanya perbicaraan adil (sebab orang yang menyiasat, mendakwa dan menghukum adalah orang yang sama), dan (3) memanggil Presiden ke sesi perjumpaan LD. Ini bagi memastikan terlaksananya prinsip keadilan semula jadi.
Saya memohon diadakan sesi perjumpaan baru dan akan memberikan kerjasama penuh. Tetapi, sehingga 6 Januari 2026, tiada berita daripada LD, dan saya menerima notis keputusan dipecat. Maknanya, saya dinafikan hak mendapat perbicaraan yang adil.
Saya akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat.
Adakah Datuk Seri masih berpegang dengan kritikan yang dibuat terhadap Presiden Parti yang dibuat sebelum ini?
Saya tetap dengan pendirian yang beliau perlu berundur sebagai Presiden Bersatu, Pengerusi PN dan tidak dicalonkan sebagai PM.
Di sini ada dua perkara. Pertama, saya tidak mempersoalkan sumbangan beliau sebelum ini. Jasanya besar. Saya akan pertahankan legasinya.
Kedua, tetapi, setelah berlaku masalah dan isu tertentu menjelang, semasa dan selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025, maka saya berpendapat beliau telah hilang faktor-faktor yang melayakkannya memimpin parti dan negara.
Faktor-faktor itu terbahagi kepada tiga kumpulan besar, iaitu ilmu, kemahiran dan adab sebagai pemimpin. Dalam setiap kumpulan besar itu, ada sebaris faktor. Apa yang telah saya bicara secara terbuka sebelum ini baru dua-tiga faktor sahaja. Akan saya senaraikan lagi kemudian. Di samping itu, terdapat latar belakangnya, iaitu kekeliruan-kekeliruan politik yang berlaku dalam parti semasa tempoh masa tersebut.
Beliau juga tidak menunjukkan komitmennya memimpin PN, contohnya dalam isu Perlis. Beliau juga tidak secara serius memimpin dasar-dasar besar PN menjelang PRU16 dan untuk masa depan negara. Asyik cerita zamannya sebagai PM dan berjaya menangani covid. Ini semua orang tahu.
Beliau masih bernostalgia dalam masa lalu. Sedangkan kita sepatutnya memerah minda untuk masa depan.
Apakah punca yang menyebabkan Datuk Seri mendesak Presiden berundur?
Selain tempoh masa (menjelang, semasa dan selepas) PAT yang saya sebut tadi, ada kronologi yang panjang.
Ia bermula sejak Datuk Seri Hamzah Zainudin dilantik Ketua Pembangkang dengan cadangan dan sokongan Pas. Timbullah iri hati daripada pihak tertentu. Kemudian timbul fitnah kononnya Hamzah akan lawan Presiden. Malahan pernah ada ura-ura memecat Hamzah sebagai Setiausaha Agung.
Sepanjang saya mengenali Hamzah, beliau tidak pernah menyebut untuk melawan Presiden. Sebagai SUA, beliau amat banyak berkorban untuk parti. Semua pimpinan utama dan ketua-ketua bahagian tahu hal ini.
Pandangan Datuk Seri mengenai kewujudan dua kem dalam Bersatu. Adakah akan menyebabkan parti berpecah sekiranya Presiden berundur? Adakah akan menjejaskan persediaan menghadapi PRU16? Bagaimanakah cara mencapai titik persamaan?
Ini persepsi yang sengaja diadakan. Hamzah tidak ada kem. Beliau ramah serta mudah berkawan dan didekati. Suka menolong orang. Tiada protokol. Sesiapa sahaja boleh ke pejabatnya. Maka, lojiklah ramai yang bertemu dan menyukainya.
Parti akan berpecah kalau sokongan tulen (iaitu bukannya diugut) terbelah dua, iaitu 50-50. Hamzah dipilih Timbalan Presiden tanpa bertanding. Jadi, dari mana datangnya perpecahan?
Masalah-masalah dalaman parti telah dibiarkan berjalan tanpa penyelesaian untuk tempoh masa yang agak lama. Inilah masalahnya. Akhirnya barulah MPT pada 4 November 2025 dan 10 Disember 2025 membincangan hal perdamaian dan melantik Tan Sri Rais Yatim mempengerusikan jawatankuasa untuk menanganinya. Kita tengoklah.
5.Siapa pada pandangan Datuk Seri pemimpin dalam parti yang layak menjadi nakhoda Bersatu menuju PRU16?
Hamzah Zainudin. Kerana beliau Timbalan Presiden dan mantan SUA Bersatu, Timbalan Pengerusi PN dan Ketua Pembangkang. Prestasinya dalam ketiga-tiga peranan tersebut adalah cemerlang. Hubungannya dengan semua parti komponen PN dan pihak-pihak luar yang berkaitan adalah baik.
Beliau tidak akan meminta, tapi saya yakin beliau mampu menjadi antara pemimpin utama apabila PN membentuk kerajaan nanti.
Kelebihan beliau ialah pengalamannya sebagai usahawan berjaya dan Pengerusi Felcra, iaitu sebelum menceburi politik. Juga pengalamannya sebagai menteri kabinet.
Masalah utama yang dihadapi rakyat sekarang ialah ekonomi. Beliau ada pengalaman sebenar dan praktikal dalam bidang ekonomi. Bukannya sekadar mempengerusi mesyuarat. Beliau mahu dan tahu menangani masalah ini.
Bagaimana dengan hubungan Bersatu dan Pas selepas ketegangan isu di Perlis selain soal parti mana yang sepatutnya menerajui kepimpinan PN?
Dalam isu Perlis, ada kelemahan TSMY sebagai Pengerusi PN. Beliau tidak memanggil mesyuarat PN untuk menyelesaikannya.
Tetapi, umumnya, hubungan antara para pimpinan kedua-dua parti adalah baik seperti biasa.
Antara sebab mengapa saya dan ramai lagi tidak bersetuju diadakan usul PAT berkaitan calon PM ialah bimbang akan reaksi Pas. Nampaknya kebimbangan kami itu terbukti benar. Sebab Pas dalam muktamarnya seminggu kemudian telah menyatakan ingin menerajui PN.
Baru-baru ini, Pas menghantar Naib Presidennya Dr Samsuri bertemu TSMY berkaitan perkara ini.
Apakah yang perlu dilakukan oleh PN untuk terus mendapatkan kepercayaan pengundi Melayu? Bagaimana pula dengan pengundi bukan Melayu?
Saya percaya PN masih menjadi pilihan utama pengundi Melayu.
Saya terharu dengan sokongan NGO-NGO Melayu kepada PN. Mereka mewakili suara pengundi atas pagar yang amat besar.
Bagi pengundi bukan Melayu, keahliannya dalam sayap-sayap untuk mereka dalam Bersatu dan Pas semakin bertambah. Gerakan juga semakin aktif. Apabila MIC menyertai PN, ia akan banyak membantu.
Apa yang paling penting ialah untuk PN berada di tengah (centre), moderat (wasatiyah) dan inklusif. Ini adalah elemen-elemen paling penting bagi rakyat Malaysia. Ini kerana majoriti rakyat kita berada di tengah, moderat dan inklusif.
Bagaimana prestasi PN selama tiga tahun yang lalu?
Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, pembangkang, iaitu PN, menubuhkan portfolio-portfolio bagi membayangi kementerian-kementerian. Jadi, kami bukan sekadar membangkang dan menyemak-imbang. Sebaliknya, PN proaktif mengadvokasi dan mengemukakan sejumlah pemikiran, gagasan, cadangan dasar, bantahan besar dan isu penting. Maknanya, PN berperanan sebagai pembangkang konstruktif dan kerajaan menanti.
Dari segi gagasan, Hamzah telah mengemukakan Konsensus Nasional Baru sebagai pelan masa depan yang lebih baik untuk Malaysia. Ia meliputi reset politik serta membetulkan ekonomi dan menyalakan semula ekonomi.
Dari segi dasar, kami telah membentangkan Gagasan Belanjawan dan Cadangan Reformasi Pendidikan.
Dari segi bantahan besar, kami telah membantah jualan saham MAHB kepada Black Rock; membantah Perjanjian Timbal Balas (ART) dengan USA; isu Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing; membantah cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA); mencadangkan dibatalkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0); krisis pelantikan kehakiman; pelantikan jawatan penting institusi negara seperti Ketua Hakim Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM; integriti dan akauntibiliti yang dibangkitkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC);
Manakala dari segi isu penting, kami bersuara tentang keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina; nasib veteran dan pencen warga ATM; ketidakpuasan hati rakyat dan sektor perniagaan berkenaan peluasan skop SST; rasuah dan tatakelola melibatkan individu yang rapat dengan Perdana Menteri;
Agaknya, apakah resipi PN untuk memenangi PRU16?
Bagi majoriti rakyat, fokusnya ialah masalah terbesar yang dihadapinya kini, dan dijangkakan akan berterusan untuk beberapa tahun ke hadapan, iaitu masalah ekonomi seperti kos sara hidup, kurang pendapatan dan pengangguran.
Justeru, PN mesti memfokus kepada penyelesaian masalah ekonomi rakyat.
Caranya tidak boleh dengan sekadar pemberian-pemberian one-off kepada rakyat dan berjangka masa pendek. Sebaliknya, ia mesti mampan. Iaitu bukan sekadar melegakan masalahnya pada hari ini, tetapi membantu dan memfasilitasi pembinaan hidupnya ke hadapan.
Menyelesaikan masalah ini melibatkan kos. Kos memerlukan dana untuk membiayainya. Dana perlu dicari dan dikembangkan. Jadi, PN perlu mengemukakan pimpinan yang mampu menguruskan bab ekonomi. Iaitu seseorang yang punya pengalaman sebenar dan berjaya dalam bidang ekonomi.
Pokoknya, PN perlu mengemukakan tawaran segar dan wajah segar.
Tawaran segar ialah gagasan yang bersifat semasa dan mendepani masa depan, Contohnya, Konsensus Nasional Baru. Gagasan ini telah dibahaskan, termasuk di Parlimen. Tawaran PN kena dijelaskan awal. Tak boleh tunggu manifesto semasa PRU. Manifesto penting, tapi orang tak sempat membaca dan memahaminya. Kerana rakyat mahu meneliti dulu sesuatu yang baru itu.
Wajah segar ialah menampilkan beberapa orang tokoh (bukannya seorang sahaja, kerana kita mesti praktikal) yang bakal mengetuai kerajaan. Iaitu bukan tokoh yang pernah menjadi PM. Kerana rakyat mahu pemimpin baru.
Wawancara ini telah diterbitkan di Mingguan Malaysia, 11 Jan 2026
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.