
KUALA LUMPUR, 14 Jun 25 – Pihak polis yang terlibat dalam siasatan dan pendakwaan Yusoff Rawther wajar disiasat, kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan bekas pembantu penyelidik ahli politik berusia 32 tahun daripada dua pertuduhan berat, mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dan memiliki dua pistol tiruan telah mencetuskan kebimbangan besar mengenai integriti dan kredibiliti institusi penguatkuasaan dan pendakwaan negara.
“Ini menimbulkan persoalan besar, bagaimana pertuduhan seberat ini boleh difailkan tanpa bukti kukuh?
“Satu siasatan bebas dan terbuka wajar dijalankan segera terhadap semua pegawai polis dan pihak pendakwaan yang terlibat dalam kes ini,” kata Tun Faisal, dalam satu kenyataan.
Kegagalan pendakwaan itu katanya tidak hanya mencalarkan imej polis dan Pejabat Peguam Negara (AGC) tetapi turut memberikan kesan langsung terhadap kredibiliti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
“Anwar seorang bekas banduan yang pernah disabitkan jenayah menyalahgunakan kuasa untuk mencampuri siasatan polis, dan menjalani hukuman penjara enam tahun atas jenayah ini,” katanya.
Penahanan dan pendakwaan terhadap Yussoff juga katanya menimbulkan persepsi wujudnya unsur salah guna kuasa dan balas dendam politik berikutan pada 2009 dia membuat akuan berkanun mendakwa dirinya menjadi mangsa serangan seksual Anwar.
Disebabkan itu juga, Malaysia kini berdepan krisis keyakinan terhadap sistem keadilan, dengan persepsi rakyat dan dunia bahawa kerajaan hari ini mengamalkan pendakwaan terpilih dan politik balas dendam.