Tiada Definisi, Tiada Keadilan: 3R Jadi Alat Tafsiran, Bukan Perlindungan

KUALA LUMPUR | 17 Apr 26 — Ketiadaan takrifan jelas mengenai “ucapan kebencian” kini dilihat membuka ruang kepada penguatkuasaan yang tidak konsisten, sekali gus mencetuskan kebimbangan tentang keadilan dalam sistem perundangan negara.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, susulan Persidangan Meja Bulat Takrifan dan Piawaian Ucapan Kebencian yang dianjurkan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Keharmonian Kaum dan Agama (APPGM-Harmoni), 14 April lalu.

Menurut beliau, keadaan semasa memperlihatkan situasi bercanggah apabila ucapan yang jelas berunsur kebencian tidak ditangani secara tegas, manakala pandangan berbeza atau kritikan pula berdepan tindakan keras.

“Sering berlaku ucapan yang jelas kelihatan sebagai ucapan kebencian tidak ditangani dengan segera, tegas dan adil. Dalam masa sama, pandangan berbeza pula diambil tindakan secara terburu-buru, keras dan zalim,” katanya.

Saifuddin turut menegaskan bahawa ketidakjelasan definisi, termasuk istilah sensitif seperti ‘3R’ (race, religion, royalty), telah membuka ruang tafsiran yang terlalu luas dalam kalangan penguat kuasa.

“Tanpa takrifan tepat, ia memberi ruang kepada pelbagai tafsiran, termasuk dalam pelaksanaan undang-undang sedia ada,” jelas beliau.

Sehubungan itu, APPGM-Harmoni kini sedang merangka satu definisi rasmi ucapan kebencian, termasuk menetapkan ambang atau “threshold” bagi membezakan antara kenyataan yang boleh dianggap sebagai jenayah dan yang sekadar kritikan sah dalam ruang demokrasi.

Inisiatif tersebut dijangka diperhalusi sebelum dibawa ke Parlimen pada hujung tahun ini sebagai dokumen panduan yang berpotensi membentuk asas kepada reformasi undang-undang berkaitan.

Mengulas lanjut, Saifuddin menekankan bahawa usaha memugar keharmonian kaum dan agama tidak boleh dipisahkan daripada prinsip keadilan dan kejelasan dalam pelaksanaan undang-undang.

“Kerja-kerja memugar keharmonian dan memagar kebencian adalah satu perjuangan,” katanya, sambil mengingatkan bahawa kepelbagaian masyarakat Malaysia merupakan kekuatan yang perlu dilindungi melalui pendekatan yang adil dan inklusif.

Dalam perkembangan sama, cadangan untuk mewujudkan Akta Harmoni serta Suruhanjaya Keharmonian turut disifatkan sebagai antara langkah yang wajar dipertimbangkan, bagi memastikan keseimbangan antara kebebasan bersuara dan keperluan mengekalkan keamanan sosial terus terpelihara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share