Perbahasan mengenai masa depan Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menjadi topik hangat dalam wacana awam. Namun rakyat Malaysia harus berani berdepan dengan satu hakikat yang jauh lebih besar dan tidak selesa.
Masalah sebenar bukan Azam Baki. Masalah sebenar ialah sistem — dan Anwar Ibrahim yang mengawal sistem itu.
Menggantikan seorang individu tetapi mengekalkan struktur pelantikan yang cacat bukanlah reformasi. Ia hanyalah sandiwara reformasi.
Walaupun Azam Baki berundur esok, struktur yang membolehkan kontroversi ini berlaku akan tetap kekal. Penggantinya akan tetap dilantik melalui proses yang sama — satu proses di mana Anwar Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat yang hanya mempunyai 31 kerusi Parlimen tetapi menduduki jawatan Perdana Menteri, menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai siapa yang harus mengetuai badan anti-rasuah paling berkuasa di negara ini.
Realitinya amat jelas: kepimpinan SPRM akhirnya bergantung kepada kehendak Perdana Menteri. Perdana Menteri bebas melantik sesiapa sahaja yang bersedia menurut “arahan”.
Keadaan ini sepatutnya membimbangkan setiap rakyat Malaysia yang berfikiran waras dan cintakan keadilan.
Sebuah agensi anti-rasuah tidak mungkin benar-benar bertindak sebagai pengawas jika kepimpinannya ditentukan oleh kuasa politik yang suatu hari nanti mungkin perlu disiasat olehnya.
Pengawas yang dilantik oleh kuasa yang diawasi tidak akan menggigit tangan yang melantiknya.
Selama bertahun-tahun rakyat Malaysia dijanjikan reformasi, ketelusan dan akauntabiliti. Kononnya nilai-nilai ini akan membebaskan institusi negara daripada pengaruh politik. Namun realitinya hari ini, negara masih terperangkap dalam kelemahan struktur yang sama yang telah menghantui sistem pentadbiran negara selama puluhan tahun.
Lebih membimbangkan, daripada melakukan reformasi institusi yang sebenar, perhatian rakyat sering dialihkan kepada pelbagai naratif konspirasi dan ancaman luar. Dakwaan mengenai komplot tertentu yang kononnya ingin menjatuhkan kerajaan sering diputar di ruang awam — malah menjadi bahan sindiran rakyat di media sosial.
Namun semua gangguan ini tidak menyentuh punca sebenar masalah: institusi negara masih belum benar-benar bebas daripada pengaruh kuasa politik.
Punca utama masalah ini terletak pada kecacatan struktur dalam kerangka Perlembagaan yang memberikan kuasa pelantikan yang sangat luas kepada Perdana Menteri terhadap pelbagai institusi penting yang sepatutnya bebas daripada campur tangan politik.
Mungkin pada era awal kemerdekaan, kuasa sebegini tidak menimbulkan kebimbangan. Ketika Perlembagaan dirangka, pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman dipercayai secara meluas untuk menggunakan kuasa tersebut secara bertanggungjawab demi kepentingan negara yang baru merdeka.
Namun demokrasi tidak boleh bergantung kepada kepercayaan semata-mata.
Demokrasi hanya boleh bertahan dengan semak dan imbang yang kukuh serta institusi yang lebih kuat daripada mana-mana individu.
Hari ini Malaysia berhadapan dengan realiti politik yang sangat berbeza daripada era awal kemerdekaan. Perdana Menteri memegang kuasa luas untuk melantik kepimpinan institusi penting walaupun partinya sendiri hanya mempunyai 31 kerusi Parlimen.
Namun daripada kedudukan ini mengalir pengaruh besar terhadap institusi yang sepatutnya menegakkan kedaulatan undang-undang.
Penumpuan kuasa seperti ini hanya akan menimbulkan kecurigaan rakyat, melemahkan kredibiliti institusi, dan menambahkan sinis meter hadap sistem politik negara.
Sebab itulah perbahasan ini tidak boleh terhenti pada persoalan individu.
Menyingkirkan Azam Baki tanpa mereforma sisistem yang membolehkan kontroversi ini berlaku hanya akan memastikan kitaran yang sama berulang dengan nama yang berbeza.
Malaysia tidak memerlukan perubahan kosmetik.
Malaysia memerlukan reformasi struktur.
Pelantikan ke institusi penting seperti SPRM mesti melalui proses yang telus, tertakluk kepada pengawasan Parlimen, dan dilindungi sepenuhnya daripada campur tangan politik.
Perjuangan menentang rasuah tidak boleh bergantung kepada ihsan pemimpin politik.
Ia mesti berpaksikan kepada institusi yang benar-benar bebas, berwibawa dan bertanggungjawab kepada rakyat.
Akhirnya, ini bukan sekadar isu tadbir urus.
Ini adalah ujian terhadap kematangan demokrasi Malaysia.
Rakyat Malaysia perlu menentukan sama ada mereka akan terus menerima institusi yang dibentuk oleh kuasa politik, atau menuntut satu sistem di mana tiada Perdana Menteri boleh mengawal agensi yang sepatutnya memantau kuasa.
Kerana hakikatnya sangat jelas:
Demokrasi tidak akan mereformasi dirinya sendiri — rakyatlah yang memaksanya berubah.
Waytha Moorthy Ponnusamy, Bekas Menteri Perpaduan Negara
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.