Pasca PRK Ayer Kuning : PN Tiada Pelan Besar, Ada Masalah Kepimpinan

Oleh : Rashidi Haris

Tidak banyak yang hendak dikomen tentang PRK Ayer Kuning, cuma berkaitan kerajaan mendabik dada seolah-olah seluruh rakyat kini telah menyokong kerajaan Madani dan pembangkang pula masih dengan alasan lama puluhan tahun dahulu kononnya walaupun kalah tetapi bilangan pengundi semakin meningkat.

Biar kalah teruk macamana sekali pun, PAS tetap berkata pengundi semakin bertambah. Ungkapan yang diulang bukan hanya PAS malahan semua parti melakukan perkara yang sama. “Same old story”, kata omputih.

Pertama, rakyat bijak perlu sedar bagaimana dahulu tanpa jentera kerajaan, pembangkang pada masa itu terdiri dari BERSATU, PKR dan DAP dan beberapa lagi berjaya menumbangkan kerajaan BN yang kuat.

Cuba bayangkan pula kali ini mereka sudah menguasai kerajaan dan ada bersama mereka kumpulan bekas kerajaan, UMNO membentuk kerajaan Madani dan kini memerintah negara, sudah tentu keupayaan berlipat kali ganda.

Kedua, walaupun kerajaan Madani ini digelar UMDAP, namun mereka ada kelebihan berbanding pembangkang, iaitu mereka ada agenda yang jelas, ke arah meliberalkan negara dan mempluralkan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

PH jelas ada pemimpin, jika ditanya sesiapa sahaja daripada kalangan penyokong kerajaan atau ahli kerajaan Madani mereka akan kata, pemimpin mereka adalah Anwar Ibrahim. Berbanding pihak pembangkang yang masing-masing parti akan mengangkat pemimpin mereka sahaja.

Ketiga, yang mendukacitakan, pihak pembangkang berkali-kali tidak mahu menerima teguran sesiapa pun melainkan sesama ahli sendiri sahaja.

Jika diterima sekalipun, pada bila-bila masa boleh dicantas begitu sahaja oleh rangking yang lebih tinggi walaupun cadangan dan teguran itu bagus. Seperti ada kemaksuman di kalangan pimpinan atasan mereka.

Justeru, pendekatan berpolitik cara lama masih popular di kalangan pembangkang iaitu dengan cara membangkitkan perkara yang remeh-temeh. Harus ingat tidak semua rakyat tahu cerita abang belon dan kandang babi… ada banyak isu besar yang boleh diketengahkan kepada rakyat supaya rakyat fikir semula pilihan mereka sebelum mengundi.

Keempatnya, realitinya PN masih ada masalah kepimpinan dan tiada pelan besar ke arah mana negara ini hendak dibawa.

PN ternyata gagal mendapatkan keyakinan rakyat yang sudah bercelaru minda dengan political game yang dimainkan oleh politikus yang berkepentingan peribadi.

Setidak-tidaknya UMDAP gelaran yang dicanang oleh pembangkang kepada kerajaan Madani walaupun mereka kalut dan teruk tetapi mereka ada slogan “kerajaan Madani” yang menjadi tema, tetapi PN masih tercari-cari dan tergantung begitu sahaja.

Lebih menyedihkan dalam PN masih ada muka-muka basi yang tidak sedar diri terhegeh-hegeh untuk berada di kerusi-kerusi empuk dalam PN!

Saranan saya, pembangkang harus bersatu dengan mengajak semua parti Melayu walaupun kecil dan membina kekuatan seperti mewujudkan  special task force untuk membina naratif mantap dan menyusun isu dengan baik untuk membangunkan kerajaan yang terbaik.

Haji Rashidi Haris

Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share