Kenaikan Bahan Api : PN Tuntut 4 Penjelasan, Cadang Cukai Durian Runtuh

KUALA LUMPUR | 26 Mac 26 — Perikatan Nasional (PN) hari ini mengemukakan empat gesaan utama kepada kerajaan susulan kenaikan mendadak harga bahan api, selain mencadangkan pelaksanaan cukai durian runtuh sementara ke atas sektor yang meraih keuntungan besar daripada lonjakan harga komoditi global.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenaikan sebanyak 60 sen bagi RON97 dan RON95 tanpa subsidi serta sehingga 80 sen bagi diesel di Semenanjung Malaysia menuntut penjelasan dan tindakan segera daripada kerajaan.

Menurut beliau, PN menggesa kerajaan supaya:

  1. Memberikan penjelasan terperinci mengenai faktor sebenar kenaikan mendadak harga bahan api;
  2. Mengumumkan langkah-langkah segera bagi mengurangkan kesan kenaikan terhadap kos sara hidup rakyat;
  3. Menjelaskan sama ada bantuan bersasar tambahan yang lebih bermakna akan diperluaskan kepada golongan terkesan termasuk isi rumah dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS);
  4. Menyatakan unjuran kerajaan berhubung kemungkinan kenaikan selanjutnya dalam tempoh terdekat.

    Menurutnya, rakyat berhak mengetahui sama ada kerajaan mempunyai strategi menyeluruh dalam mengurus dasar subsidi bahan api, khususnya dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

    Selain empat tuntutan tersebut, PN turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan cukai durian runtuh sementara ke atas sektor dan syarikat yang mendapat manfaat luar biasa daripada kenaikan harga komoditi global, termasuk sektor minyak dan industri berkaitan.

    Takiyuddin berkata, hasil tambahan daripada cukai berkenaan boleh disalurkan semula kepada rakyat dalam bentuk bantuan langsung atau langkah mitigasi bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup.

    “Kenaikan mendadak ini memberi kesan berantai kepada keseluruhan ekonomi. Maka kerajaan perlu memastikan dasar yang dilaksanakan bersifat telus, bertanggungjawab dan benar-benar meringankan beban rakyat,” katanya.

    PN menegaskan bahawa dalam suasana ketidaktentuan global, pendekatan dasar fiskal yang lebih seimbang dan bersasar amat penting supaya tekanan pasaran tidak dipindahkan sepenuhnya kepada rakyat. 

    Terdahulu, media The Edge melaporkan kerajaan sedang merangka untuk mengurangkan had bulanan kelayakan petrol RON95 bersubsidi di bawah program Budi95, daripada 300 liter kepada hanya 200 liter sebulan, berkuat kuasa mulai April ini.

    Untuk rekod, harga RON95, RON97 dan diesel terus melonjak dengan masing-masing kepada RM3.87, RM5.15 dan RM5.52 seliter bermula semalam. @politiko.my

    Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

    Total
    0
    Shares

    Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
    Related Posts
    Total
    0
    Share