Hadi: Islam Menang Tanpa Paksaan, Perpaduan Umat Jadi Teras Kekuatan

KUALA NERUS | 4 Apr 26  – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Islam tersebar ke seluruh dunia bukan melalui paksaan, sebaliknya melalui keadilan dan kesempurnaan sistem yang dibawanya.

Menurut beliau, prinsip asas dalam Islam adalah kerana keupayaannya menawarkan keseimbangan dalam mengatur kehidupan.

“Islam tidak memaksa sesiapa memeluk agama ini. Sebaliknya, manusia menerima Islam kerana melihat keadilan dan kesempurnaan ajarannya,” katanya dalam Kuliah Dhuha Khas di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada Jumaat.

Dalam masa sama, Abdul Hadi menekankan bahawa kekuatan sebenar umat Islam tidak terletak pada pengaruh politik semata-mata, tetapi pada perpaduan dan kesetiaan kepada ajaran agama.

Beliau mengingatkan bahawa sejarah telah membuktikan umat Islam sering berdepan cabaran termasuk perpecahan dalaman, yang akhirnya melemahkan kedudukan mereka.

“Kekuatan umat terletak pada perpaduan dan kesetiaan kepada ajaran Islam, bukan kepada perkara lain yang boleh membawa perpecahan,” ujarnya.

Kuliah Dhuha Khas ini berlangsung sempena Himpunan Alam Melayu 2026 & Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke-5 yang sedang berlangsung ketika ini di Terengganu. Acara kemuncak iaitu Pidato Perdana Penyatuan Ummah Politik Malaysia dijangka pada jam 9 malam ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menggambarkan Islam sebagai satu sistem kehidupan yang menyeluruh, bukan sekadar agama dalam konteks ibadah semata-mata. 

Katanya, hukum-hukum Allah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia dan berperanan sebagai panduan utama dalam membina masyarakat yang adil dan seimbang.

“Hukum Allah bukan sekadar peraturan, tetapi manifestasi kebijaksanaan yang perlu dilaksanakan dalam semua aspek kehidupan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam kembali kepada ajaran sebenar Islam serta memperkukuhkan kesatuan bagi menghadapi cabaran semasa.

Menurutnya, hanya dengan berpegang kepada prinsip Islam secara menyeluruh, umat Islam mampu bangkit semula sebagai satu kuasa yang dihormati di peringkat global.

Kenyataan tersebut turut memperlihatkan pendekatan lebih menyeluruh PAS dalam membawa naratif Islam sebagai model keadilan sejagat, merentasi sempadan politik dan geografi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Pemecatan Saifuddin Cetus Protes Ahli Parti

Dalam kenyataan media hari ini, jawatankuasa berkenaan memaklumkan bahawa mesyuarat yang diadakan pada 9 Januari lalu telah membuat ketetapan untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap keputusan pemecatan tersebut, yang menurut mereka dibuat tanpa perbicaraan yang adil.
Read More
Total
0
Share