Perpaduan Melayu Berpaksi Kebenaran Dan Keadilan

Pada 2-4 April lalu, Kerajaan Negeri Terengganu telah menganjurkan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kuala Terengganu. Ia dirasmikan dengan ucaputama Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ucaputama Hadi substantif dan komprehensif. Ia menjadi asas Deklarasi Alam Melayu yang diproklamir perhimpunan tersebut.

Deklarasi tersebut menegaskan Islam adalah asas perpaduan ummah, pemimpin-pemimpin Islam perlu bersatu bagi menjamin kuasa politik ummah, pemimpin-pemimpin hendaklah bertaqwa dan kompeten, menyokong Risalah Amman (penerimaan lapan mazhab), membersihkan naratif dan silibus peradaban dan ketamadunan Islam bagi memperkukuh jati diri, memartabat bahasa Melayu bagi mengangkat identiti dan jihad ekonomi ummah.

Manakala dalam sesi Pidato Perdana ijtimak itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, salah seorang pemidatonya, menyampaikan mesej jelas dan praktikal. Bahawa penyatuan Melayu teras kestabilan. Ini kerana dalam realiti politik Malaysia, kekuatan Melayu-Bumiputera adalah paksi kestabilan nasional.

Hamzah menggunakan analogi penyatuan Melayu sebagai pohon besar yang berakar pada sejarah, berbatang pada kekuatan politik dan berdaun pada perpaduan sosial; manakala buahnya adalah kemakmuran, kestabilan dan keadilan yang dinikmati bersama.

Apabila pohon itu rendang, ia bukan sahaja melindungi Melayu, tetapi memberi teduhan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum. Sebab itu Hamzah mengatakan orang bukan-Melayu jangan khuatir dengan penyatuan Melayu kerana sejarah telah membuktikan kemurnian hati orang Melayu.

Lebih jauh dari itu, Hamzah melihat penyatuan ini dari sudut geopolitik Nusantara, iaitu kekuatan Melayu di Malaysia mampu menjadi inspirasi dan dokongan kepada umat Melayu serantau.

Pada saya, perpaduan Melayu-Islam dapat direalisasikan apabila beberapa perkara dipenuhi. Antaranya, ia bersandarkan perjuangan menegakkan makruf dan mencegah mungkar. Kepentingan pertiwi mesti mengatasi kepentingan parti, apalagi peribadi. Peribadi tidak boleh obsessed hendak menjadi Perdana Menteri atau ketua.

Budaya politik hendaklah bersandarkan politik baru yang matang, iaitu politik ilmu, hikmah, bakti, pelbagai kaum, moderat, centrist dan progresif.  

Perpaduan ini perlu diketuai barisan pimpinan baru yang berwibawa dan mampu berunding dengan majoriti pemimpin Melayu pelbagai organisasi, iaitu politik, NGO, perniagaan, akademia, profesional, anggota kerajaan, badan uniform dan lain-lain, terutamanya organisasi-organisasi terbesarnya. Bukannya diketuai seseorang yang tidak dihormati majoriti pimpinan Melayu tersebut, terutamanya dari organisasi-organisasi terbesarnya.

Perpaduan ini bukannya soal political survivalism. Sebaliknya, ia soal reset dan pembinaan bangsa dalam gagasan Konsensus Nasional Baru.

Ia bukannya soal kaum majoriti yang terperangkap dalam aksi ketuanan (supremacy) atau reaksi minda terkepung (siege mentality). Sebaliknya, ia soal kaum majoriti yang dengan bijaksana dan inklusif ingin membangun konfigurasi politik dan seluruh spektrum kehidupan ke arah Malaysia yang lebih baik.

Kesimpulannya, perpaduan Melayu-Islam mestilah berpaksikan nilai-nilai kebenaran dan keadilan, iaitu dilaksanakan dalam kerangka-kerangka hidup sesama Melayu-Islam sebagai ummah, hidup bersama dalam budaya damai (peaceful coexistence) dengan kaum-kaum lain, dan hidup sebagai peserta penting geopolitik dunia.

Contohnya telah tersedia, iaitu Sahifah Madinah serta kehidupan beradab dan bertamadun pimpinan Rasulullah s.a.w.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Perang Iran Dan Kesan Ekonomi Global

Perang Iran menunjukkan bagaimana konflik geopolitik boleh mencetuskan krisis ekonomi global. Rantau Timur Tengah memainkan peranan strategik dalam sistem ekonomi dunia, sebagai pengeluar tenaga utama dan hab penerbangan antarabangsa.
Read More

Ada Apa Dengan Konsensus Nasional?

Ayatnya adalah trust deficit . Maka, saya mencari jalan bagaimana cara kembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan. Itulah yang akhirnya saya dapat satu kertas yang boleh dibincangkan bahawa Konsensus Nasional Baharu ini
Read More
Total
0
Share