
SHAH ALAM | 23 Apr 26 — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Shafie Ngah membangkitkan isu peranan pembangkang dalam persidangan Dewan Negeri Selangor, dengan menegaskan kepentingan prinsip semak dan imbang seperti yang dizahirkan dalam titah diraja.
Ketika mengambil bahagian dalam perbahasan, beliau berkata titah tersebut jelas mengiktiraf peranan pembangkang bukan sahaja di dalam dewan, tetapi juga di peringkat akar umbi termasuk daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Namun, beliau meluahkan kekecewaan apabila wakil pembangkang tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat berkaitan pembangunan daerah, yang menurutnya bercanggah dengan semangat demokrasi.
“Kami dipilih oleh rakyat. Ini bukan soal kepentingan politik, tetapi untuk kebaikan rakyat,” katanya.
Shafie menjelaskan bahawa kehadiran wakil pembangkang dalam mesyuarat tersebut penting bagi memastikan mereka dapat memahami perancangan kerajaan negeri, selain memberi pandangan serta teguran sekiranya perlu.
Menurutnya, pembangkang tidak mempertikaikan pelantikan wakil atau penyelaras oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan program, namun menegaskan hak mereka untuk turut serta dalam proses perbincangan pembangunan.
“Apa yang kami mahukan hanyalah dibenarkan masuk ke mesyuarat pembangunan daerah — supaya kami tahu apa yang sedang dilakukan dan boleh menegur jika perlu,” katanya lagi.
Tekankan kebajikan rakyat sebagai keutamaan
Beliau menegaskan bahawa tuntutan tersebut selari dengan penekanan terhadap kebajikan rakyat seperti yang dizahirkan dalam titah diraja, dan bukan bermotifkan kepentingan politik.
“Demi rakyat. Itu sahaja,” ujarnya.
Isu ini dijangka terus menjadi perhatian dalam perbahasan, khususnya berkait peranan pembangkang dalam memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban pentadbiran di peringkat negeri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.