Anwar Perlu Letak Jawatan Untuk RCI Ditubuhkan, Kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 14 Jul 25 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak meletakkan jawatan bagi membolehkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan salah laku dan campur tangan dalam pelantikan hakim.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, dengan cara itu, ia dapat memastikan kebebasan terhadap penubuhan RCI tersebut tanpa campur tangan perdana menteri.

“Perdana menteri hendaklah mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan. Barulah sebuah RCI yang bebas dapat ditubuhkan untuk menyiasat sebarang salah laku dan ketidakpatuhan undang-undang dalam pelantikan hakim.

“Pelantikan hakim-hakim juga tidak lagi dikaitkan dengan kepentingan peribadi perdana menteri,” kata Muhyiddin, dalam kenyataan di Facebook.

Presiden Bersatu itu berkata, dakwaan berlakunya campur tangan dalam pelantikan hakim berkait rapat dengan masalah yang lebih besar iaitu dakwaan campur tangan badan eksekutif dalam pelantikan hakim-hakim membabitkan perdana menteri yang mempunyai kepentingan dalam satu kes mahkamah yang serius.

“Ini membangkitkan suatu kebimbangan yang munasabah bahawa Perdana Menteri juga tidak akan meletakkan integriti sebagai pertimbangan utama dalam pelantikan hakim.

“Pertimbangan kepentingan peribadi berkemungkinan besar akan mengatasi faktor integriti,” kata Muhyiddin.

Sekiranya integriti badan kehakiman tidak lagi menjadi asas pertimbangan yang penting dalam pelantikan hakim-hakim, Muhyiddin khuatir keadilan boleh dijual beli.

“Dakwaan ini mestilah disiasat dan tindakan pembetulan hendaklah diambil dalam proses pelantikan hakim-hakim supaya rakyat terus yakin terhadap badan kehakiman sebagai penegak keadilan,” kata Muhyiddin.

Keseluruhan kemelut kehakiman itu katanya dikhuatiri menjejaskan kak dan kebebasan seseorang untuk mendapatkan keadilan di mahkamah terjejas sekiranya perbuatan campur tangan itu benar-benar wujud.

“Bagaimana seorang individu boleh mendapat jaminan keadilan bagi dirinya jika penghakiman sesuatu kes boleh dipengaruhi oleh pihak yang berkuasa,” kata Muhyiddin. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share