Salah Papar Bendera, KPP Patut Undur Diri Secara ‘Gentleman’, Kata Maszlee

KUALA LUMPUR, 25 APR 25 – Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menggesa Ketua Pengarah Pendidikan (KPPM) mengambil tanggungjawab dengan mengundurkan diri susulan isu kesilapan Kementerian Pendidikan (KPM) memapar ilustrasi Jalur Gemilang dalam laporan prestasi SPM.

Maszlee berkata, ia adalah tindakan yang berprinsip dan bermaruah demi bangsa dan negara.

“Demi negara dan demi menjaga imej tatakelola Madani yang dibawa oleh perdana menteri, Ketua Pengarah Pendidikan (KPPM), timbalan yang berkaitan dan juga Pengarah Lembaga Peperiksaan perlulah bertanggungjawab dan mengundurkan diri secara ‘gentleman’.

“Melepaskan jawatan bukanlah sesuatu yang mengaibkan jika ia didasari oleh prinsip dan maruah bangsa dan negara!,” kata Maszlee dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial miliknya.

Kesalahan itu katanya amat memalukan ketika ia berlaku empat hari selepas KPM mewajibkan pemakaian lencana bendera bersama pakaian sekolah bermula Isnin lepas.

“Memalukan! Tiada perkataan lain yang sesuai untuk menggambarkan insiden ini.

“Lagi malang ianya dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan yang diamanahkan untuk mendidik rakyat sekalian?

“Jawapannya mudah, kerana kelalaian, kecuaian, dan sikap tidak cermat dan tidak berdisplin dalam menjalankan amanah,” tegas Maszlee.

Oleh itu, seseorang harus bertanggungjawab di atas kecuaian dan kesalahan yang memalukan negara itu, katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Putra Shahrulutfi Sharif, turut menggesa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bertindak melepaskan jawatan susulan insiden berkenaan.

“Permohonan maaf yang dikeluarkan oleh KPM sebagai jalan mudah untuk menutup bangkai di depan mata yang amat memalukan kerana simbol kedaulatan negara di remehkan.

“Ianya tidak semudah memohon maaf dan mesti ada pihak yang mesti mengambil tanggungjawab moral di atas kecuaian dan kelemahan ini,” katanya, dalam kenyataan berasingan. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share