
KUALA LUMPUR, 18 Jul 25 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi mempunyai alasan untuk menangguhkan pelaksanaan titah adendum yang membolehkan bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Shafei Abdullah berkata, seramai 160 daripada keseluruhan 191 ketua Umno bahagian menyatakan pendirian tegas menuntut titah adendum itu dilaksanakan kerana ianya disahkan sah dari segi perundangan dan perlembagaan.
Shafei turut mendakwa tindakan bekas peguam negara Datuk Seri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh menyembunyikan titah itu selama lebih setahun adalah suatu pengkhianatan terhadap prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, dan keluhuran Perlembagaan.
“Tindakan ini mencemar budi bicara Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu, dan menafikan keadilan yang seharusnya diterima oleh Najib,” katanya, kepada pemberita, selepas pertemuan khas ketua Umno bahagian di ibu negara, malam tadi.
Titah adendum itu juga katanya telah disahkan secara bertulis oleh Istana Pahang pada 4 Jan lalu selain keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 6 Jan yang turut memperakui kewujudan dan kesahan titah tersebut.
“Sehubungan itu kami mendesak perdana menteri segera mengambil tanggungjawab penuh untuk melaksanakan titah adendum tersebut, iaitu membenarkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah, sebagaimana yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Tiada sebarang alasan lagi untuk melengah-lengahkannya,” tegasnya.
Terdahulu, pada 6 Januari, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti memutuskan agar kes semakan kehakiman berkaitan dakwaan kewujudan perintah tambahan yang membolehkan Najib menjalani tahanan rumah dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.
Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.