Anwar Wajar Bercuti, Kata NGO

KUALA LUMPUR, 12 Jun 25 – Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar berehat dari kerusi perdana menteri berikutan kegagalan retorik reformasi yang dilaungkan daripada dilaksanakan, kata NGO.

Setiausaha Agung Sekretariat Tanahair, Dr Armin Baniaz Pahamin mendakwa, selepas hampir tiga tahun memegang tampuk kepimpinan negara, tidak ada satu pun reformasi utama yang benar-benar membuahkan hasil.

“Rakyat Malaysia tidak menuntut kesempurnaan. Apa yang ditagih ialah kepimpinan yang jujur, berani dan mempunyai keazaman untuk membina semula negara.

“Namun apabila reformasi terus gagal, ekonomi kian lemah, dan kredibiliti peribadi semakin terhakis, maka Anwar tiada lagi pilihan selain berundur secara terhormat,” katanya, dalam satu kenyataan.

Tiga tahun pentadbiran Anwar dakwanya yang terlihat hanyalah pembohongan dan alasan berpanjangan, penangguhan demi penangguhan, serta kekaburan hala tuju kepimpinan.

Dari sudut ekonomi, Armin mendakwa, prestasi kerajaan semakin dipersoalkan.

“Janji pertumbuhan mampan dan jaminan kelangsungan subsidi kini digantikan dengan dasar cukai yang membebankan, ketidaktentuan fiskal dan kegagalan mengemukakan pelan pembangunan jangka panjang yang meyakinkan,” katanya.

Memburukkan keadaan, Anwar katanya berdepan dengan tindakan sivil yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidiknya, Yusoff Rawther, berkait dakwaan salah laku seksual yang belum selesai.

“Situasi ini menimbulkan persoalan besar terhadap keutuhan moral dan integriti kepimpinan tertinggi negara.

“Demi menjaga maruah institusi perdana menteri dan menjamin kelangsungan pentadbiran yang stabil, Anwar seharusnya mengambil cuti sementara untuk memberi ruang kepada proses perundangan berjalan,” tambahnya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share