
Satu saluran berita tempatan berbahasa Inggeris, pada 18 Oktober, menyiarkan tajuk berita berikut: “End of an ere: As Maybank moves into Merdeka 118, what’s next for its former iconic home?”
Ia adalah berkenaan pengosongan Menara Maybank kerana bank itu memindahkan ibu pejabatnya ke Merdeka 118.
Saya pun bertanya soalan yang sama. Apa akan terjadi kepada Menara Maybank yang ikonik dan indah itu?
Maklumat atas talian mengatakan cawangan utama (main branch) Kuala Lumpur akan terus beroperasi di situ. Tetapi kalau tidak ada penyewa bagi menggantikan 5,900 orang kakitangan Maybank yang berpindah, tidaklah aset itu menjana hasil. Rugi sajalah.
Apatah lagi, di Merdeka 118 ia menyewa. Daripada menduduki bangunan sendiri, ia kini menyewa 33 aras dengan sewa bulanan RM6.89 juta.
Saya amat yakin ramai orang kenal dan terkait, daripada banyak sudut, dengan pencakar langit di atas bukit kecil itu.
Saya ketahui sejarah Menara Maybank ini awal kerana saya biasa dengan tapaknya. Namanya Court Hill atau Bukit Mahkamah kerana di situlah terletak Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang asal.
Di kompleks peninggalan penjajah itulah, pada tahun 1969, saya belajar membuat laporan mahkamah; mengenai apa yang wajib dimuatkan dan apa yang tidak boleh disiarkan ketika membuat laporan perbicaraan.
Menara Maybank adalah bangunan tertinggi di Malaysia apabila siap pada tahun 1988 iaitu 243.5 meter (799 kaki). Ia memegang rekod itu selama 10 tahun sehinggalah Menara Kembar Petronas siap tahun 1998.
Dalam keadaan di mana Kuala Lumpur mengalami kebanjiran ruang pejabat, usaha menyewa atau menjual bangunan lama seperti Menara Maybank boleh dikira mencabar.
Buat masa ini, bangunan itu dipajakkan kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB). PNB adalah induk Maybank dan Merdeka 118 adalah milik PNB. Seelok-eloknya, sewalah 33 aras itu kepada orang luar. Maybank sudah ada bangunan sendiri.
Sekadar maklumat, Maybank ini asalnya milik keluarga Cina. Menurut catatan atas talian, ia diambil alih oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1965 berikutan skandal kewangan. Pengambilan alih itu diselia oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Almarhum Abdul Razak Hussein.
Dato A Kadir Jasin ialah mantan Ketua Pengarang NST. Artikel ini telah disiarkan di laman sosial facebook beliau, 20 Okt 25
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.