Rancangan Pendidikan Kerajaan Dipersoal

Pada 21 Januari lalu, semasa membahaskan usul menjunjung kasih kepada Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas Titah Di-Raja Perasmian Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas, saya telah membangkitkan persoalan-persoalan fundamental tentang Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 (RPN).

Sebagai Pengerusi Portfolio Pendidikan PN, saya membahaskan Cadangan Reformasi Pendidikan sejak Mac 2024. Dokumennya telah disampaikan kepada Menteri-menteri KPM dan KPT.

Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkaitan Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia (JKPK), yang saya pengerusikan, menghargai Menteri-menteri KPM dan KPT yang sudi menghadiri mesyuarat-mesyuaratnya, termasuk membentangkan cadangan pelan pendidikan setiap kementerian.

Pada sesi Parlimen lalu, saya menyatakan bahawa apabila PN mentadbir Putrajaya, tidak kira sama ada akan wujud satu atau dua kementerian tentang pendidikan, PN akan mempunyai hanya SATU pelan pendidikan negara sahaja.

Pada 20 Januari lalu, PMX telah meluncurkan RPN yang terdiri daripada DUA pelan pendidikan, iaitu Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 (RPM) dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 (RPTM).

Kerana itu, saya mengemukakan sejumlah persoalan:

(1) Wujudkah wahdatul fikr (penyatuan pemikiran) dalam ertikata sebenar semasa penyediaan RPN? Sepatutnya RPN adalah satu pelan pendidikan komprehensif, yang diterbitkan dalam satu dokumen, yang dilaksanakan bersama-sama oleh KPM dan KPT mengikut tugas masing-masing. Bukannya dua pelan pendidikan, yang diterbitkan dalam dua dokumen berasingan (satu oleh KPM dan satu oleh KPT) yang diluncurkan dalam satu majlis perasmian.

(2) Apakah matlamat yang benar-benar dikongsi bersama oleh kedua-dua kementerian? Kerana KPM ada Tujuh Teras Strategik manakala KPT ada Sepuluh Lonjakan.

(3) Apakah model graduan yang ingin dilahirkan? PN telah menyatakan bahawa modelnya ialah Rasulullah.

(4) Apakah akan berlaku kesinambungan yang betul-betul mulus dan licin dalam perjalanan seorang pelajar dari sekolah KPM ke universiti KPT?

(5) Adakah dijalankan kajian menyeluruh dan mendalam dalam penyediaan RPN? Bagi KPT, contohnya, saya yakin Model Universiti Empat Kuadran telah melalui penyelidikan. Ia turut dibentang kepada JKPK. Tetapi bagi KPM, contohnya, peperiksaan pada tahun empat adalah mengejutkan. Ia tidak pernah dibincangkan.

(6) Adakah peperiksaan tahun empat bagi menggantikan UPSR? Saya bimbang kita kembali menjadi Exam Nation (Sammy Wright), iaitu negara yang taksub peperiksaan. Kalau semasa UPSR, ada pelajar mengikuti tusyen sejak tahun satu, kini ia mungkin bermula sebelum pra-sekolah. Akibatnya, pelajar menderita sindrom the hurried child (David Elkind) kerana mereka dipaksa (pushed) melewati keupayaan tahap perkembangannya.     

(7) Bagaimana pula tahap kesediaan masing-masing kementerian, iaitu dari segi frasarana, sumber manusia, dana dan sebagainya?

(8) Bagaimana dengan masalah disiplin, contohnya kes Zara?

(9) Bagaimana dengan inti persoalan pokok, iaitu pengisiannya? Iaitu kurikulum, jenis dan jumlah mata pelajaran, sukatan pelajaran, teknik mengajar dan sebagainya?

(10) Adakah difahami bahawa bahasa, contohnya, bukannya sekadar linguistik? Ia soal ‘bahasa jiwa bangsa’. Ingatlah, “Kami tidak mengutus Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya, agar dia dapat memberi penjelasan.” (Ibrahim: 4). Justeru, hayati betul-betul Titah Di-Raja tentang Bahasa Melayu.//

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Pengerusi Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional. Ucapan ini telah disampaikan ketika perbahasan Dewan Rakyat, 21 Jan 2026

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share