ATM: Dari Skandal Panglima ke Isu Moral ATM

Dakwaan skandal rasuah melibatkan kepimpinan tertinggi tentera yang didedahkan oleh aktivis politik, Che’GuBard, bukan sekadar episod politik yang berlalu tanpa jawapan.

Ia menjadi titik rujukan penting dalam memahami mengapa setiap isu melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini segera mencetuskan persoalan integriti, akauntabiliti dan kepercayaan awam.

Apabila dakwaan sebesar itu tidak pernah disiasat secara bebas dan telus, bayangnya kekal menghantui institusi.

Hingga kini, ketiadaan penjelasan menyeluruh oleh badan bebas, telah membentuk satu persepsi berbahaya: bahawa hierarki tertinggi tentera berada di luar jangkauan akauntabiliti. Dalam struktur ketenteraan yang menekankan kepatuhan dan kerahsiaan, kegagalan membersihkan nama secara terbuka akhirnya akan menjejaskan integriti keseluruhan organisasi.

Dalam kemelut ini, tular pula isu melibatkan dakwaan salah laku moral dan salah guna kuasa di kem tentera. Isu membawa masuk orang awam ke mes tentera dan dakwaan perlakuan sumbang bukan isu kecil, sebaliknya dilihat sebagai simptom kepada budaya pengawasan dalaman yang lemah – ini adalah masalah sistemik. Ia kanser dari kepala hingga ke ekor.

Arahan Kementerian Pertahanan agar ATM menjalankan siasatan dalaman mungkin mematuhi prosedur sedia ada, namun dari sudut tadbir urus, ia mengulangi masalah sama.

Rantaian perintah yang sama — daripada anggota, pegawai atasan, Ketua Turus Angkatan Tentera hingga Menteri Pertahanan — kini memikul peranan sebagai pihak berkepentingan dan penyiasat serentak.

Inilah masalah sistemik yang dimaksudkan, ATM tidak dipantau secara profesional dan bebas.

Isu ini menjadi lebih serius apabila dikaitkan dengan sifat ATM sebagai institusi bersenjata. Tentera bukan sekadar organisasi pentadbiran, tetapi penjaga keselamatan negara.

Apabila dakwaan menyentuh aspek disiplin, kawalan akses dan integriti dalaman, implikasinya melangkaui moral kepada keselamatan nasional.

Dari dakwaan rasuah melibatkan elit tertinggi hingga skandal moral di peringkat operasi, respons institusi hampir seragam: siasatan dalaman, kenyataan ringkas, dan menunggu isu reda. Hasilnya, kepercayaan awam semakin terhakis.

Bagi Kerajaan Madani yang katanya menjuarai reformasi, tatakelalo – tidak kelihatan langsung dalam skandal ini.

Reformasi tidak boleh berhenti pada slogan. selagi siasatan terhadap institusi keselamatan kekal tertutup dengan kekangan birokrasi, selagi itulah janji integriti akan dilihat retorik

Kesimpulannya, masalah ATM hari ini bukan sekadar skandal moral atau dakwaan rasuah individu, tetapi kegagalan sistem akauntabiliti. Tanpa mekanisme bebas seperti Ombudsman dengan kuasa sebenar, setiap skandal, sama ada melibatkan panglima atau anggota bawahan , akan terus berulang dalam kitaran yang sama. @analitiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share