
Kepimpinan negara mesti dibina dengan politik kebolehpercayaan yang dipasakkan bersamanya aspek keikhlasan, kecekapan, integriti serta tanggungjawab, agar harapan besar rakyat dapat dilunaskan menjadi sebuah realiti indah, bukannya retorik bersulamkan madah ilusi.
Memahami keperluan ini, Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, membentangkan Belanjawan Perikatan Nasional dengan tema ‘Membetulkan Struktur, Menyalakan Ekonomi dan Melegakan Rakyat’ di bawah gagasan besar Konsensus Nasional Baharu, bagi menawarkan sesuatu yang lebih baik untuk rakyat dan negara.
Antaranya, Perikatan Nasional menawarkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah yang memerlukan, pendidikan percuma di peringkat pra-siswazah kepada golongan rentan dan biasiswa ijazah pertama dalam bidang strategik kepada mana-mana pelajar yang layak secara merit.
Sebagai tokoh teknokrat, sudah tentu tawaran Perikatan Nasional ini menggabungkan etos kepimpinan dan pengalaman luas Hamzah dalam dunia korporat mahupun pentadbiran kerajaan, yang dijalin bersama aspirasi serta hala tuju Perikatan Nasional sebagai government in waiting.
Tawaran Perikatan Nasional itu segera menarik perhatian banyak pihak hingga diperbahaskan dalam Dewan Rakyat oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), YB Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), selain turut diperdebatkan dalam kalangan para akademik dan menjadi bualan rakyat terbanyak.
Ertinya, tawaran ini memberi impak kepada sosio-masyarakat dan lebih-lebih lagi dari sudut politik.
Membetul Struktur, Menyemarak Ekonomi, Melegakan Rakyat
Dalam menyediakan tawaran belanjawan ini, Perikatan Nasional percaya sebelum mahu membina sesuatu yang lebih baik, kita mesti berani membetulkan apa-apa yang pincang, sebelum mampu menambah hasil, kita mesti menyalakan semula keyakinan dan sebelum negara dapat mengecapi kemajuan, kesempitan hidup rakyat mesti dilegakan.
Pendekatan ‘membetul struktur, menyemarak ekonomi dan melegakan rakyat’ ini adalah langkah untuk keluar daripada paradigma lama, kerana dalam menawarkan sesuatu kepada rakyat, ia bukan semata-mata mengenai peruntukan, tetapi yang lebih penting ialah soal kecekapan agar apa yang dibelanjakan benar-benar sampai ke dapur rakyat.
Ia merupakan manifestasi falsafah politik, ekonomi serta sosial yang bersulam tanggungjawab dan keberanian.
Pendekatan ini penting kerana terdapat banyak ketidakpastian, – misalnya, bagaimana Kerajaan Madani bermain ‘silap mata’ memanipulasi dana RM50.8 bilion yang datangnya daripada GLIC, Badan Berkanun dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), tetapi tidak terdapat dalam akaun hasil disatukan dalam Belanjawan 2026.
Itu belum lagi persoalan apa perlunya Khazanah Nasional labur RM600 juta untuk kerja baik pulih bangunan, tandas awam hingga RM1 juta sebuah, dan projek MyKioss dengan harga RM25,000 seunit yang kini menjadi projek gajah putih.
Rasional dan Progresif
Belanjawan Perikatan Nasional ini adalah tawaran serta pelan tindakan yang doable, bukan dreamable dan jauh sekali sembang retorik.
Pengalaman Australia dalam menguatkuasakan jaringan keselamatan sosial negara berkenaaan, yang bersifat real adjustment system dengan menggunakan data Centrelink, agar bantuan lebih dinamik mengikut keperluan isi rumah boleh dijadikan panduan, – dan dalam konteks Malaysia, data PADU sewajarnya jadi tulang belakang kepada bantuan untuk rakyat.
Persoalan yang banyak ditimbulkan ialah daripada mana Perikatan Nasional mahu mendapatkan dana tambahan untuk menjayakan tawaran-tawaran ini khususnya bantuan BPN RM6,000 dan pendidikan percuma di peringkat pra-siswazah.
Sebenarnya, dalam ucapan perbahasan, Hamzah telah pun menggariskan pendekatan Perikatan Nasional untuk mendapatkan dana tambahan tanpa membebankan fiskal negara.
Ketika ini, Ekonomi Gelap (Black Economy) Malaysia amat besar iaitu dianggarkan lebih RM350 bilion, tetapi sistem percukaian negara ada kelompongan. Perikatan Nasional mencadangkan reformasi struktur percukaian yang lebih komprehensif, adil dan telus, – agar dapat memintas ekonomi gelap ini.
Seandainya, 10 peratus daripada Ekonomi Gelap ini dapat dicukaikan, kerajaan berpotensi memperoleh tambahan RM35 bilion setahun – cukup untuk membiayai program pembangunan tanpa membebankan fiskal.
Selain menangani Ekonomi Gelap, Perikatan Nasional juga mencadangkan High Impact Business Catalyst Fund berasaskan model strategic partnership antara kerajaan dan syarikat berpotensi tinggi, – sebagai satu lagi bentuk pendekatan baharu untuk mendapatkan dana tambahan.
Melalui model ini, kerajaan berperanan sebagai penyokong modal awal serta pemegang kepentingan strategik menerusi perkongsian hasil jangka panjang dan apabila syarikat tersebut berjaya, kerajaan akan menikmati aliran pendapatan baharu melalui dividen dan cukai keuntungan.
Begitu juga dalam soal hala tuju pendidikan negara. Dalam konteks TVET misalnya, Perikatan Nasional mengusulkan pendekatan industry-anchored training system, – di mana industri menjadi rakan utama reka bentuk kurikulum dan model ini terbukti berjaya menurunkan kadar graduan menganggur di Jerman dan Korea Selatan.
Politik dan Ekonomi Baharu
Di sebalik semua tawaran Perikatan Nasional, apa yang lebih mustahak ialah falsafah politik yang mendasarinya.
Perikatan Nasional melalui Konsensus Nasional Baharu bukan sahaja bermatlamat untuk membetulkan struktur kepimpinan dan menyalakan ekonomi negara, tetapi membangkitkan kesedaran bahawa masa depan Malaysia tidak boleh dibina atas perpecahan, sebaliknya mesti ditegakkan atas nilai kesatuan matlamat dan moral.
Konsensus Nasional Baharu adalah ajakan untuk kita sama-sama menenun semula kepercayaan, kesepakatan dan harapan. Ia bukan slogan, tetapi merupakan blueprint politik matang yang insya-Allah menjadi fajar menerbitkan harapan, menerangi jalan demi kepentingan semua pihak.
Sebagaimana ditegaskan Hamzah dalam perbahasannya: “Segala apa yang saya ikrarkan ini bukan dongengan saudagar mimpi, tetapi merupakan tekad dan janji perjuangan, – demi keadilan, demi kesejahteraan dan demiu kepentingan agama, bangsa dan negara yang tercinta ini,” .
Tawaran Perikatan Nasional ini membuktikan bahawa pembangkang bukan sekadar mengkritik tetapi menawarkan gagasan berani lagi realistik, – yang tidak menjual mimpi, tetapi membina realiti.
Mohd Asron Mustapha, Setiausaha Akhbar Kepada Ketua Pembangkang
Rencana ini telah diterbitkan di Utusan Malaysia, 22 Okt 2025
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.