Oleh : Ahmad Murad Merican

Media dan kewartawanan Melayu memerlukan naratif baru. Di mana usaha mengiktiraf dan memperkasakan kewartawanan dan media Melayu?
Organisasi media yang sedang beroperasi? Suratkhabar Melayu yang tidak seberapa kerat sekarang? Pertubuhan-pertubuhan kewartawanan? Sekolah-sekolah kewartawanan – yang kini sibuk dengan teknologi dan media sosial lalu meninggalkan kepentingan budaya dan warisan.
Bercakap mengenai sekolah kewartawanan dan media, terdapat dua jenis – di universiti awam dan universiti swasta.
Sekolah kewartawanan universiti swasta lebih prihatian mengenai soal-soal warisan dan budaya dalam mengkaji, memulihara dan mempromosi media dan kewarawanan China di Malaysia. Disebut sebagai media/suratkhabar vernakular. Mereka dengan sedar mengeluarkan graduan untuk profesyen dan industri media Cina.
Ini tidak berlaku dengan sekolah kewartawanan universiti awam. Tidak ada kesedaran memulihara media dan kewartawanan Melayu, lalai dengan media sosial, kajian persepsi, dan kononya dengan kebitaraan teknologi.
Apakah sekolah media/kewartawanan di universiti awam, tidak boleh mencontohi sekolah swasta universiti swasta?
Jika tiada badan yang sesuai, sekolah media/wartawan universiti awam wajar mengambil langkah mengiktiraf dan membentuk satu konsep mengenai ‘media Melayu.’ Media Melayu adalah satu realiti sosial dan sejarah. Wajar kita mengiktiraf entiti/kategori media Melayu atas sebab kepentingan kebangsaan.
Pengiktirafan media Melayu adalah atas kepentingan kebangsaan. Cuba kita lihat media Cina, contoh kewartawanan berbahasa Cina dan kewartawanan berbahasa Inggeris. Ia dikendalikan oleh golongan wartawan dan editor Cina. Dan sudah tentu, ia tidak akan memperkasakan Bahasa Melayu.
Penulisan ini menarik perhatian kita ke atas kewartawanan dan media Melayu sebagai khazanah kebangsaan. Kita mesti meletak media Melayu sebagai komponen dan alat strategik, melainkan jika mengganggap masalah ini tidak kritikal.
Jika kita bersikap negatif dan tidak bertenaga untuk menentukan halatuju naratif kewartawanan Melayu, siapa lagi yang bertanggungjawab? Kita tidak boleh biarkan naratif kewartawanan Melayu dicorak oleh kewartawanan dan media lain.
Apakah suara Melayu tidak penting dalam pentas sosial, intelektual dan politik negara? Sebagai petunjuk, cuba kita kira jumlah suratkhabar harian berbahasa Melayu berbanding dengan jumlah suratkhabar harian berbahasa Cina di Malaysia dengan peratusan penduduk kedua-dua kaum dalam demografi negara?
Ada yang pernah bertanya saya: “Masih adakah media Melayu?” Soalan itu merujuk kepada suratkhabar Melayu di Malaysia – keadaan yang amat menyedihkan.
Tidak ramai yang sudi membicarakan institusi, budaya dan identiti persuratkhabaran Melayu. Tiada kesedaran dan kepentingan. Jawab mereka – kini zaman internet, zaman media sosial – “Apa gunanya suratkhabar, wartawan dan kewartawanan Melayu?
Tidak ada siapa yang berminat dan membaca suratkhabar Melayu.” Begitulah nada dan sentimen di kalangan golongan cerdik pandai dari universiti – sarjana, dan wartawan sendiri.
Apabila kita membicarakan peranan media di Malaysia dalam memperkasakan Bahasa Melayu, kita mesti berbalik kepada kehebatan medium – suratkhabar Melayu, radio dan televisyen berbahasa Melayu, kematangan dan tenaga hujah, ulasan dan komentar dalam bahasa Melayu, kewibawaan wartawan dan kewartawanan Melayu.
Jika media yang dibiayai dan dipimpin orang Melayu, yang diterajui oleh wartawan Melayu sendiri tidak memperkasakan Bahasa Melayu, media mana yang akan memperdulikan menjenamakan semula bahasa Melayu.
Sudah tentu kita tidak boleh mengharapkan media berbahasa Cina, atau media berbahasa Tamil, atau media berbahasa Kadazan, atau media berbahasa Inggeris untuk memperkasakan Bahasa Melayu.
Memperkasakan Bahasa Melayu memerlukan penjenamaan semula kewartawanan/media bahasa Melayu. Media Melayu perlu membawa dan menampilkan naratif yang positif, tegas dan berwibawa.
Siapa yang akan menerima Bahasa Melayu jika stesen radio berbahasa Melayu tidak bertenaga dan bermaya dalam penampilan mendidik dan mencerahkan pemikiran masyarakat? Lawak bodoh setiap hari bukanlah jenama yang positif.
Siapakah yang akan memberi sambutan kepada kewartawanan Melayu jika suratkhabar Melayu tidak menampilkan hujah dan ulasan yang bernas melalui lidah pengarang dan ruangan pendapat?
Siapakah yang akan menghormati bahasa Melayu jika penerbit majalah-majalah berbahasa Melayu tidak ada haluan, tidak bersungguh-sungguh menjenamakan majalah mereka kepada khalayak yang majoriti penduduk negara – lebih dari 60 peratus adalah penutur Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda?
Siapakah yang akan menghormati Bahasa Melayu jika pada satu masa dulu majalah kesuasteraan di beri percuma seolah-olah seni budaya dan ekpresi dalam bahasa Melayu tidak ada nilai.
Dimanakah fungsi, peranan dan sumbangan kewartawanan dan media Melayu dalam hal ini – suratkhabar, radio, televisyen, media dalam talian, syarikat pengiklanan, pemasaran dan komunikasi.
Bagaimana pula dengan hujah, pendapat, komentar kewartawanan Melayu? Di mana kekuatan suara dan ekpresi kewartawanan Melayu dalam kancah kecelaruan dunia?
Jika suratkhabar Melayu dipandang serong oleh cerdik pandai dan cendekiawan Melayu, bagaimanakah dapat Bahasa Melayu diperkasakan?
Rakan sejawat ahli akademik, profesor dan sarjana Melayu pernah menyatakan mereka tidak lagi percaya, tidak membaca suratkhabar Melayu. Mereka memandang remeh media dan kewartawanan Melayu. Ini bukan fenomenon baharu.
Mereka menyifatkan kewartawanan Melayu sebagai tidak penting. Mereka melihat kegiatan media, suratkhabar dan kewartawanan Melayu sebagai picisan. Mereka mendakwa liputan dalam media itu dangkal dan terpesong.
Tidak terlepas juga pandangan-pandangan lazim didengar bahawa media/kewartawanan Melayu bersifat partisan.
Para akademik Melayu pun terjebak dalam pendekatan popular melabelkan media/wartwanan dan kewartawanan Melayu sebagai bersifat politik (dan ini juga bergantung kepada parti politik mana yang mereka taksub).
Prof Dato Dr Ahmad Murad Merican – Institut Tamadun dan Pemikiran Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM)
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.