
KUALA LUMPUR, 13 Sep 25 – Tindakan Bersatu menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) minggu lalu dianggap sebagai tanda kelemahan strategi parti itu untuk menampilkan kepimpinan baharu.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berkata, corak usul yang dibawa dalam tiga PAT berturut-turut jelas menunjukkan Bersatu terlalu bergantung pada kedudukan Muhyiddin.
“PAT 2023 menekankan mandat mengekalkan beliau sebagai presiden; PAT 2024 pula menobatkan jawatan ‘Presiden Pengasas’; dan PAT 2025 menamakan beliau sebagai calon perdana menteri. Pola ini membayangkan parti lebih sibuk mengabsahkan kuasa kepimpinan sedia ada daripada mengangkat agenda rakyat,” katanya dalam satu kenyataan analisis.
Hisomudin menambah, langkah itu difahami sebagai usaha meredakan tekanan dalaman terhadap kepimpinan Muhyiddin, namun ia memberi gambaran parti hanya bersikap defensif dan reaktif, bukan progresif.
“Agenda besar berkaitan dasar, isu rakyat atau persiapan menghadapi PRN Sabah tidak muncul sebagai fokus utama. Sebaliknya, perhatian ahli dan media lebih banyak tenggelam dalam drama dalaman,” katanya.
Beliau turut menegaskan, walaupun keputusan itu menutup spekulasi berhubung calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN), ia tetap memperlihatkan survival Bersatu masih terlalu bergantung pada kredibiliti seorang individu.
“Tanpa naratif baharu yang menyentuh kehidupan rakyat, sukar bagi Bersatu meyakinkan pengundi bahawa ia benar-benar bersedia menjadi kerajaan alternatif,” katanya.
Ulasan ini menyusul selepas panganlisa politik, Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid (USM) mengulas bahawa Bersatu perlu tampil sebagai alternatif serius menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan tidak sekadar menonjolkan seorang individu sebagai calon perdana menteri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.