CSO Gesa Kerajaan Tarik Balik RUU URA

KUALA LUMPUR, 25 Ogos 25 – Kumpulan Organisasi Sivil (CSO) dan persatuan penduduk menggesa kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU-URA) yang telah dibentangkan minggu lalu di dewan rakyat.

Dalam satu kenyataan, mereka mendakwa RUU tersebut tidak adil, pincang dari sudut undang-undang serta mencabul hak pemilik harta.

“Kami menuntut agar kerajaan segera menarik balik rang undang-undang tersebut dan mengisytiharkan moratorium ke atas semua projek pembangunan semula bandar sehingga satu rang undang-undang yang lebih komprehensif dan adil digubal,” kata mereka pada kenyataan bersama.

Dalam kenyataan yang sama, mereka mendakwa meskipun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjalankan 108 sesi konsultasi, draf akhir yang dibentangkan hampir tidak berubah daripada versi asal yang telah dikritik hebat.

“Tanpa sebarang perbincangan dua hala selepas maklum balas awam ditutup pada 31 Mac, RUU yang dibentangkan pada 21 Ogos amat mengejutkan, pada dasarnya mengabaikan maklum balas yang diberikan,” katanya.

Sebelum ini, URA dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 21 Ogos, di mana kerajaan menggambarkannya sebagai langkah transformasi untuk menyelaras pembangunan semula kawasan bandar usang, memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan nilai hartanah.

Cadangan tersebut adalah bertujuan menangani kepadatan tinggi, kemudahan lapuk dan kekurangan infrastruktur moden di kawasan bandar lama.

Dalam perkembangan yang sama, bantahan masyarakat termasuk isu ambang persetujuan yang dikatakan serendah 75 peratus untuk meluluskan projek pembangunan semula kerana ia membolehkan baki 25 peratus pemilik yang tidak bersetuju dikenakan tindakan melalui LAA.

“Ini bermakna ramai yang mempunyai sebab sah untuk tidak bersetuju akan terpaksa menerima sama ada penalti ekonomi berupa pampasan yang rendah atau diusir secara paksa dari komuniti mereka.

“Ini adalah suatu pencabulan yang amat dahsyat dan bercanggah dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan kita, khususnya Perkara 8 (Kesamarataan) dan 13 (Hak terhadap Harta),” katanya lagi.

Antara yang menyatakan bantahan tersebut termasuk Lawyers for Liberty (LFL), KL Residents Action for Sustainable Development (KLRA+SD) yang mewakili 75 persatuan, PJ Sejahtera, dan Persatuan Pembeli-Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA).

Turut menyatakan sokongan ialah Selamatkan Kuala Lumpur, Fomca, Gabungan Darurat Iklim Berhad, Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP), serta Gabungan Bertindak Malaysia. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share