
KUALA LUMPUR, 16 Jul 25 – Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi mandat oleh partinya mempelopori kerjasama blok pembangkang dikenali sebagai Barisan Pembangkang Bersatu (United Opposition Front) dengan membentuk persefahaman antara parti diluar gabungan kerajaan.
Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu juga bersetuju usaha itu adalah bagi membincangkan dan mengambil pendirian bersama dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat.
“Cadangan ini akan dibincangkan dalam Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan pada hujung minggu ini,” kata Azmin, dalam satu kenyataan selepas mesyuarat MPT semalam.
Azmin berkata, MPT turut bersetuju untuk Bersatu menyertai Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai depan, yang dijadual bermula pukul 2 petang di Dataran Merdeka.
“Kerahan akan dibuat pada semua peringkat kepimpinan dan orang awam untuk berhimpun secara aman demi perjuangan membebaskan rakyat dari kezaliman dan menjunjung Perlembagaan dan Undang-undang Negara,” kata Azmin.
Selain itu, dalam mesyuarat itu, Muhyiddin turut mengarahkan semua pimpinan membantu meningkatkan gerak kerja di kawasan-kawasan tumpuan Bersatu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Katanya, MPT juga mengikuti perkembangan dan senario politik di Sabah yang memberi keyakinan rakyat Sabah menerima baik dan mendukung perjuangan Bersatu dan PN.
Azmin turut memaklumkan, MPT juga mengesahkan tarikh-tarikh Persidangan Agung Tahunan (PAT) Tahun 2025 pada 6 Sep sehingga 7 Sep 2025 di Shah Alam, Selangor.
“MPT menerima cadangan dan meluluskan program Infaq Bersatu yang bertujuan untuk mendapatkan dana bagi aktiviti bersatu.
“Sumbangan terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang ingin membantu agenda rakyat terus diperjuangkan bersama Bersatu,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.