
KUALA LUMPUR, 25 Jul 25 – Kumpulan pertubuhan sivil (CSO) menuntut komitmen kerajaan dan pembangkang untuk mengangkat agenda reformasi tulen.
Dalam satu kenyataan bersama oleh Bersih, C4 Center, Ideas, Projek Sama, Pusat Komas, dan Transparency International Malaysia, mereka juga menggesa pembangkang memain peranan semak imbang kepada kerajaan demi kebaikan negara dan rakyat.
“Kami sekali lagi menegaskan semua pihak, terutama kerajaan dan pembangkang perlu mengangkat agenda reformasi yang tulen.
“Pembangkang juga memikul beban tanggungjawab kepada rakyat untuk semak dan imbang kepada kerajaan demi kebaikan negara,” kata kenyataan bersama itu.
Tambahnya, Malaysia mempunyai potensi besar yang boleh diteroka dan ditawarkan kepada dunia dengan syarat kepimpinan mempunyai sikap kebertanggungjawaban yang tinggi.
Sehubungan itu, kumpulan tersebut berkata mereka akan terus menuntut reformasi institusi dilaksanakan.
“Negara kita mempunyai banyak potensi untuk ditawarkan di peringkat antarabangsa dan potensi ini dapat direalisasikan jika kita menjunjung nilai-nilai hak asasi manusi, tadbir urus yang baik dan kebertanggungjawaban yang tinggi.
“Di peringkat rakyat, kami akan terus berada di atas landasan menuntut reformasi institusi sebagai satu blok penting mewakili tuntutan rakyat,” kata kenyataan itu.
Malah, mereka turut memberi jaminan akan kekal sebagai badan semak imbang, tanpa mengambil kira mana-mana gabungan politik.
“Posisi ini penting sebagai mekanisme semak dan imbang kepada agenda reformasi terhadap mana-mana gabungan politik,” tambahnya.
Kumpulan berkenaan sebelum ini mengadakan pertemuan bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mana fokus perbincangan adalah berkisar mengenai cadangan reformasi institusi yang penting agar diangkat oleh Perikatan Nasional.
“Reformasi institusi adalah benteng untuk rakyat menyemak imbang kerajaan dan para penguasa agar tidak menyalahgunakan institusi dan kuasa yang diturunkan kepada mereka demi kepentingan politik dan peribadi,” kata kenyataan itu lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.