
KUALA LUMPUR, 24 Jul 25 – Peguam Kanan Haniff Khatri Abdulla menempelak Pejabat Peguam Negara (AGC) kerana mengatakan penjawat awam perlu mematuhi arahan untuk tidak turut serta dalam himpunan Turun Anwar di ibu negara hujung minggu ini.
Haniff turut mencabar AGC mengeluarkan peruntukan Perlembagaan yang membenarkan kenyataan yang dikeluarkannya sedangkan hak berhimpun secara aman diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ini karut. Bila masa arahan KSN dan pekeliling mana-mana jabatan kementerian atau agensi awam bila masa boleh melepasi Perlembagaan.
“Saya cabar demgan penuh rendah diri tunjukkan peruntukan Perlembagaan mahupun perundangan yang benarkan KSN beri arahan kepada penjawat awam untuk tidak menyertai mana-mana perhimpunan awam yang menjadi minat penjawat awam diluar tempoh kerja.
“Mana dia peruntukan Perlembagaan benarkan perkara seperti itu,” kata Haniff, melalui kenyataan video di media sosialnya.
Beliau merujuk kenyataan AGC sebelum ini mengingatkan orang ramai hak berhimpun tidak mutlak.
“Peguam Negara di bawah perkara 145(1) penasihat Agong dan kerajaan. Tetapi nasihat berpandukan Perlembagaan dan perundangan bukan membodek, menjilat.
“Jangan cabuli dan cemari AGC dengan kenyataan dangkal. Lewat ini beberapa kenyataan AGC lebih memihak secara salah dan tidak wajar kepada kerajaan tanpa pun perlu AG mahupun pejabatnya keluar kenyataan seperti itu,” kata Haniff.
AGC sebelum ini berkata, hak untuk bersuara dan berhimpun secara aman yang dijamin perlembagaan adalah tidak mutlak, beberapa hari sebelum himpunan Turun Anwar berlangsung hujung minggu ini.
Kakitangan awam juga katanya tertakluk kepada surat aku janji sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan 20(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.
“Jabatan ini juga menegaskan bahawa, meskipun Perkara 10(1)(a) dan 10(1)(b) memperuntukkan hak kepada setiap warganegara untuk bercakap dan bersuara, serta hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata, namun hak-hak tersebut adalah tidak bersifat mutlak.
“Selaras dengan itu, sebarang perhimpunan awam juga tertakluk kepada keperluan mematuhi undang-undang sedia ada termasuk arahan khusus yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk arahan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) kepada penjawat awam,” katanya.
Nasihat AGC itu kata Haniff adalah salah dan bercanggah dengan Perlembagaan.
“Bila saya baca kenyataan media itu saya tidak boleh berdiam diri. Ini AGC satu institusi tinggi penasihat kerajaan dan Agong. Saya tidak boleh biarkan AG dan AGC beri kenyataan nasihat mahupun saranan salah bercanggah dengan Perlembagaan,” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.