Deklarasi Alam Melayu: Gagasan Mahathir Kini Diterima Ramai – Khairuddin

KUALA LUMPUR | 7 Apr 26 — Seruan penyatuan Melayu secara merentasi parti politik yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad atas nama bangsa dan agama dikatakan diterima oleh pelbagai pihak.

Ketika mengulas Deklarasi Alam Melayu yang terhasil dari Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah, Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan PAS Melaka, Khairuddin Abu Hassan berkata, idea penyatuan Melayu secara “non-partisan” yang dibawa Mahathir kini mula disambut pelbagai pihak, termasuk parti-parti politik yang sebelum ini dilihat berada pada spektrum berbeza.

“Orang-orang Melayu sudah mula sedar untuk mengekalkan tunggak kepimpinan Melayu secara lebih kuat di negara kita hanyalah boleh dicapai melalui nasihat Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu melihat Melayu bersatu di bawah satu ‘Payung Besar.’ Katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, walaupun platform berbeza digunakan, matlamatnya tetap sama iaitu menyatukan orang Melayu demi memastikan kepimpinan Melayu dan kedudukan Islam terus kukuh dalam negara.

Beliau berpandangan bahawa agenda penyatuan hanya boleh berjaya sekiranya kepentingan bangsa diletakkan mengatasi percaturan politik peribadi.

“Tak kiralah samada orang-orang Melayu bercakap mengenai ‘Payung Besar,’ ‘Rumah Bangsa’ atau ‘Deklarasi Alam Melayu’ termasuk di bawah forum-forum Melayu yang lain; pokok persoalannya semua orang-orang Melayu kini sudah mula menerima serta sambut baik buah pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan keseluruhan orang-orang Melayu bersatu-padu untuk jaminkan kita terus kekal kuat serta relevan seakhir hayat di bumi Melayu ini.

Beliau dalam kenyataan yang sama turut mengkritik konsep “Rumah Bangsa” yang diperkenalkan UMNO sebenarnya merupakan penjenamaan semula kepada gagasan asal Mahathir. Malah, beliau mendakwa pendekatan itu dimandatkan dalam kerangka politik tertentu bagi menarik semula sokongan pengundi Melayu.

“’Rumah Bangsa’ telah ditiru oleh kerajaan PH sebenarnya tetapi dimandatkan kepada UMNO untuk cuba tarik undi Melayu bagi menyokong mereka.

Bagaimanapun, katanya, sambutan terhadap inisiatif tersebut dilihat hambar berikutan krisis kepercayaan yang masih membelenggu UMNO, khususnya terhadap kepimpinan presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Siapa pun sudah tidak percaya lagi pada UMNO yang diterajui oleh Zahid Hamidi.

“Ramai daripada bekas-bekas tokoh pemimpin UMNO juga telah memberi sambutan paling dingin serta menolak cadangan bersatu semula di bawah ‘Rumah Bangsa’ yang diciplak oleh Zahid Hamidi dari ide Tun Dr Mahathir Mohamad. Katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share