
KUALA LUMPUR, 21 Jun 25 – Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Mohamad Shafiq Abdul Halim mempersoalkan tindakan kerajaan menutup saluran Telegram Edisi Siasat.
Katanya, kerajaan juga perlu menjelaskan kewajaran penutupan saluran itu.
“Adalah tidak munasabah mendakwa kandungan saluran itu menghakis kepercayaan terhadap institusi awam dan menggugat ketenteraman masyarakat.
“Sebaliknya, Edisi Siasat memainkan peranan mendedahkan salah laku, penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah yang berleluasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Tindakan itu juga katanya mengejutkan 1.18 juta pengikut saluran tersebut.
Ia turut menimbulkan persoalan berkenaan komitmen kerajaan dalam mempertahankan prinsip kebebasan bersuara.
Shafiq turut meminta kerajaan jelaskan secara terperinci pelanggaran Edisi Siasat yang didakwa melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyiasat pendedahan secara telus dan bukan menutup saluran agar maklumat tersebut tidak sampai kepada rakyat.
Sedangkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak bersuara dan mana-mana tindakan menyekat suara rakyat jelas mencabul kebebasan tersebut.
“Tindakan menyekat dan menutup beberapa akaun media sosial yang mendedahkan kelemahan kerajaan membuktikan bahawa agenda reformasi yang dicanang Pakatan Harapan hanyalah sekadar slogan,” tegasnya.
Katanya, sejak ditubuhkan pada 2018, tiada perdana menteri atau menteri komunikasi sebelum ini pernah mengambil langkah drastik untuk menyekat Edisi Siasat secara agresif seperti yang berlaku ketika ini. @politiko.my