Hentikan Normalisasi Sekolah Dengan Arak

Oleh : Rashidi Haris

Rakyat Malaysia, khususnya ibu bapa, sudah cukup muak dengan cubaan segelintir pihak yang mahu menormalisasikan arak dalam ruang pendidikan yang mana kononnya atas nama “keterbukaan” dan “hak individu”.

Kenyataan YB Lim Guan Eng baru-baru ini yang membantah larangan membawa arak ke kawasan sekolah jelas memperlihatkan kealpaan beliau terhadap nilai moral dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Sekolah bukan tempat untuk eksperimen sosial atau agenda politik. Sekolah ialah tempat mendidik anak bangsa menjadi insan berakhlak, berdisiplin, dan berguna kepada negara. Apa logiknya arak yang jelas merupakan satu bahan yang memabukkan, merosakkan akal dan moral kemudian dikaitkan dengan kebebasan di ruang pendidikan?

Arak bukan sekadar isu halal dan haram dalam Islam. Semua agama besar dunia menegah penganutnya daripada meminum arak. Sama ada agama Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain semuanya mengingatkan tentang bahaya mabuk, kehilangan kewarasan, dan keruntuhan akhlak akibat arak.

Jadi mengapa perlu dipertahankan seolah-olah ia simbol kebebasan dan yang anehnya inikah bentuk pemimpin masa depan negara yang mahu rakyat mendekati arak?

Mendidik generasi muda bermula dengan menanam nilai yang betul. Jika sejak kecil mereka melihat arak dibawa masuk atau dibenarkan berada di sekitaran kawasan sekolah, apa mesej yang kita sedang hantar, bahawa arak itu perkara biasa, atau kita hendak beritahu bahawa tiada salahnya mabuk jika kelak mereka mahu mencubanya?

Saat negara sekarang ini sedang berdepan krisis sosial seperti kes buli, jenayah pelajar, penyalahgunaan dadah, keruntuhan moral dan terbaru sampai ke peringkat paling menakutkan iaitu pembunuhan, tiba-tiba ada pula pemimpin yang mahu menormalisasikan arak di tempat anak-anak belajar. Ini bukan sahaja tidak bijak, malah tidak bertanggungjawab.

Kerajaan dan Kementerian Pendidikan perlu bersikap tegas, ini bukannya perkara remeh. Kawasan sekolah mesti dijadikan zon bersih daripada sebarang bentuk bahan terlarang sama ada arak, vape, rokok, atau dadah hatta membawa senjata tajam sekalipun mesti dilarang.

Nilai murni mesti diangkat lebih tinggi daripada agenda politik sempit semata-mata hendak menjaga hati pengundi.

Anak-anak ialah amanah negara. Jangan rosakkan masa depan mereka dengan ideologi songsang atas nama keterbukaan.

Pendidikan bukan tentang mengajar membaca dan menulis sahaja atau mendapat keputusan kepujian tetapi membentuk akal, jiwa dan akhlak. Negara tidak mahu mempunyai orang bijak yang berakhlak buruk. Bentuk negara bangsa apakah ini?

Jangan didik murid dengan arak. Didik mereka dengan nilai, akhlak dan tanggungjawab.

Haji Rashidi Haris, Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share