Oleh : Rashidi Haris

Selama hampir dua dekad, Aman Palestin Berhad (APB) menjadi antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) paling aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada Palestin.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2004 dan didaftarkan secara rasmi pada 3 Januari 2006, Aman Palestin telah menguruskan pelbagai misi bantuan di Gaza, Lubnan, dan Syria, termasuk penajaan anak yatim, pembinaan infrastruktur asas, serta penghantaran bantuan kecemasan semasa krisis.
Namun kini, nama Aman Palestin tidak lagi disebut kerana sumbangannya, tetapi kerana siasatan yang berlarutan dan pembekuan aset yang besar.
Pada November 2023, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa sebanyak 41 akaun bank milik Aman Palestin dengan jumlah kira-kira RM15.87 juta telah dibekukan bagi tujuan siasatan melibatkan dakwaan salah urus dan pecah amanah (The Edge Malaysia, 7 Disember 2023).
Persoalannya, apakah wajar sebuah organisasi kemanusiaan yang sudah beroperasi hampir dua dekad digantung operasinya begitu lama tanpa sebarang perkembangan jelas kepada umum?
Menurut laporan New Straits Times (14 Februari 2024), Aman Palestin terpaksa menutup 13 cawangan dan mengurangkan tenaga kerja selepas akaun dibekukan.
Manakala dalam kenyataan rasmi mereka (Sinar Harian, 20 November 2023), Aman Palestin menegaskan bahawa tuduhan kononnya sumbangan tidak sampai kepada rakyat Palestin adalah “tohmahan tidak berasas”, dan mereka mempunyai bukti penghantaran terus kepada rakan operasi di Gaza.
Walau bagaimanapun, hingga kini belum ada keputusan muktamad diumumkan oleh pihak berkuasa. Siasatan terus tergantung, sementara dana sumbangan orang ramai kekal beku.
Aman Palestin juga telah memfailkan semakan kehakiman terhadap SPRM dan kerajaan Malaysia bagi memohon pembatalan pembekuan akaun, namun permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas alasan ia sebahagian daripada proses siasatan jenayah (The Edge Malaysia, 6 Jun 2024).
Dalam masa yang sama, masyarakat kini diseru pula menyokong “Misi Sumud”, sebuah kempen kemanusiaan berskala besar yang digerakkan oleh pihak lain. Tidak dinafikan, setiap inisiatif untuk membantu Palestin amat dialu-alukan, tetapi tidakkah wajar timbul persoalan tentang standard berganda dalam pengendalian entiti bantuan ini?
Mengapa satu NGO yang telah terbukti beroperasi bertahun-tahun, dengan rekod penyaluran bantuan ke lapangan, disekat sepenuhnya; sedangkan kempen baharu diberi laluan luas dan sokongan media yang besar?
Adakah keputusan membekukan akaun itu masih berasaskan siasatan yang aktif, atau kini sekadar menjadi beban senyap birokrasi?
Lebih membimbangkan, tiada laporan interim atau kenyataan rasmi terkini daripada pihak berkuasa mengenai status siasatan atau penemuan awal. Ini menimbulkan persoalan yang lebih besar:
• Apakah nasib sebenar dana amanah rakyat Malaysia yang dibekukan?
• Sampai bila kes ini akan berlarutan tanpa kesimpulan?
• Dan apakah jaminan bahawa kempen baharu seperti Misi Sumud akan terhindar daripada nasib sama sekiranya berlaku pertindihan kepentingan atau kejuruteraan politik?
Dalam keghairahan kita mengangkat slogan perjuangan dan solidariti, jangan sampai kita membenarkan keadilan menjadi selektif.
Jika benar berlaku salah urus, tampilkan bukti dan bicarakan secara terbuka. Tetapi jika tidak, lepaskanlah dana itu untuk kembali berfungsi kepada tujuan asalnya membantu rakyat Palestin.
Kerana akhirnya, keadilan bukan hanya untuk Palestin, tetapi juga untuk mereka yang berjuang membela Palestin. Rakyat tidak pernah lupa, yang lupa ialah kaki pembohong kerana terlalu banyak berkata bohong hingga lupa segala pembohongannya.
Haji Rashidi Haris, Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.