Oleh : Haji Rashidi Haris

Walaupun kebanyakan NGO tidak begitu berminat dengan politik kerana sikap golongan politikus namun kami tidak alpa daripada mengikuti perkembangan semasa politik negara.
Justeru, ada kalangan NGO bersetuju dengan cadangan A Kadir Jasin baru-baru ini, supaya dibuang politikus tua.
Namun begitu, masih ramai NGO beranggapan jangan dibuang terus kerana masih terdapat kelebihan daripada pengalaman mereka yang diperlukan setidaknya memberi pandangan kedua kepada keputusan parti.
Keberadaan mereka tetap ada manfaatnya dalam parti setidak-tidaknya sebagai penasihat yang tidak autokratik atau diktator. Langkah terbaik yang perlu dilakukan kepada mereka yang sudah tua-tua ini jangan bagi mereka bertanding lagi dalam PRU.
Era mereka sudah luput, mereka berlapang dada dengan memberi peluang kepada generasi muda pula bertanding dalam PRU yang akan datang dan jadi menteri kalau menang dan sekiranya kalah mereka boleh mengambil iktibar dan merancang dengan strategik yang lebih mantap dan tersusun di masa depan.
Di Kedah, Terengganu dan Kelantan kini sudah muncul muka-muka baru sebagai calon PAS untuk PRU yang majoritinya dari kalangan muda-muda sekitar usia bawah sikit 60.
Pendekatan ini bagus kerana jikalau menang calon PAS yang muda ini boleh menjadi menteri dan timbalan menteri. Pimpinan parti tidak kira parti mana, sudah seharusnya memulai langkah mengisi diperingkat atasan parti dengan meletakkan barisan tua dan muda.
Tidak semestinya yang tua sahaja layak menjadi menteri. Mungkin setakat satu dua tetapi jangan sampai sebakul seperti dalam parti UMNO yang masih lagi mengamalkan cara lama.
UMNO patut lihat bagaimana PKR dan DAP yang sudah pun mulai meletakkan golongan muda di barisan pimpinan yang telah lama diserapkan, manakala yang tua kekal ada tetapi hanya 2-3 org sahaja.
Puak ini tidak akan melepaskan jawatan selagi merasakan boleh menang dan mengaut ghanimah bila berkuasa nanti. Angan-angan yang tak pernah luput dari minda pimpinan UMNO sejak era Tun M lagi.
Orang muda mampu mentadbir dengan panduan dan nasihat orang tua, bukannya orang tua memerintah dengan mengerah keringat orang muda untuk habuan orang tua semata-mata.
Mungkin kenyataan ini agak kasar tetapi itulah pandangan NGO terhadap politik yang kalau tidak pandai menipu tidak layak jadi pemimpin.
Haji Rashidi Haris – Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis