Oleh : Astora Jabat

Pada Julai 2025 ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-100, satu pencapaian luar biasa yang jarang dicapai oleh tokoh mana-mana negara, apatah lagi oleh seorang yang pernah memimpin Malaysia selama lebih dua dekad dan kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada usia yang sudah lanjut.
Sepanjang hayat politiknya, Tun Mahathir tidak pernah sunyi daripada perhatian umum.
Namanya sentiasa terpampang di dada akhbar, menghiasi kaca televisyen di seluruh dunia dan kini terus hidup di media sosial.
Bahkan sekitar 20 hingga 30 tahun yang lalu, saya sendiri pernah mengalami situasi di mana penduduk di beberapa negara lebih mengenali nama “Dr. Mahathir” berbanding nama Malaysia itu sendiri. Ini adalah pengalaman peribadi saya yang membuktikan betapa besarnya pengaruh dan pengiktirafan antarabangsa terhadap beliau sebagai seorang pemimpin negara yang berwibawa dan hebat.
Tun Dr. Mahathir, pada pandangan saya, tergolong dalam kelompok tokoh luar biasa seperti Mao Zedong, Gamal Abdel Nasser, Ho Chi Minh, Sukarno, Josip Broz Tito dan seumpamanya, tokoh yang hanya muncul sekali dalam seratus atau beberapa ratus tahun.
Mereka bukan sekadar pemimpin negara, tetapi pencorak sejarah, pengubah arus zamannya. Pandangan ini pernah saya utarakan dalam tulisan saya di Mingguan Malaysia suatu ketika dahulu.
Tun Mahathir menepati ciri tokoh-tokoh ini dari segi karisma, wawasan besar, serta kesan mendalam yang ditinggalkan ke atas negaranya dan dunia.
Namun demikian, Tun Mahathir memiliki kelebihan yang mengatasi kebanyakan tokoh besar dunia, iaitu kelanjutan usia yang disertai dengan ketajaman minda dan kecergasan luar biasa. Dalam aspek ini, Tun Mahathir berdiri dalam kelasnya yang tersendiri.
Cuba renung. Ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri buat pertama kali, gaya pemerintahannya yang tegas, dasar ekonomi yang berani seperti Dasar Pandang ke Timur dan penswastaan besar-besaran menjadikan beliau figura dominan dalam politik Asia Tenggara.
Ketika beliau bersara pada tahun 2003, ramai menjangka beliau akan menyepi. Namun, Tun Mahathir kekal relevan, tulisan-tulisan beliau di blog, kritikannya terhadap pentadbiran pengganti, serta kesanggupan beliau kembali ke pentas politik untuk menumbangkan kerajaan lama dalam PRU-14, semuanya menggemparkan negara dan menarik perhatian dunia.
Lebih menarik, walaupun selepas tidak lagi memegang jawatan utama dalam kerajaan, kenyataan beliau tentang isu-isu semasa seperti dasar luar, ekonomi atau masa depan Melayu masih menjadi rujukan dan bahan perdebatan umum. Malah lawatan atau kemunculan awam beliau, walau sekadar menghadiri forum atau temubual sering menjadi tajuk utama media dan tular di media sosial.
Fenomena ini menunjukkan bahawa Tun Mahathir bukan sekadar tokoh politik, tetapi beliau adalah institusi dalam dirinya sendiri. Kehadirannya di mana-mana sahaja dalam dan luar negara membawa makna, membangkitkan perbincangan dan menuntut perhatian ramai, baik yang menyokong mahu pun yang mengkritik.
Tun Dr. Mahathir sering mengungkapkan kata-kata yang mengandungi unsur refleksi dan pengajaran, termasuk kenyataan-kenyataan seperti “ini mungkin pertemuan terakhir kita” atau “masa saya tidak lama lagi”. Ungkapan sebegini memberi gambaran bahawa beliau sentiasa sedar akan realiti usia, namun tetap memilih untuk terus aktif demi menyumbang kepada negara.
Lebih dua dekad lalu, saya pernah dengar beliau menyebut dalam satu pertemuan tertutup tentang kebimbangan terhadap hala tuju UMNO. Malah ketika itu, beliau menyebut bahawa parti itu mungkin akan hancur, namun beliau sendiri tidak akan menyaksinya kerana beliau akan masuk ke lubang tanah sambil menunjukkan ke bumi.
Namun, sejarah membuktikan sebaliknya — UMNO mengalami krisis besar selepas 2018, dan Tun Mahathir masih berada di pentas utama, mengulas dan memberi pandangan dengan tajam seperti biasa.
Daya Ingatan yang Menakjubkan
Salah satu aspek yang paling mengagumkan mengenai Tun Mahathir pada usia ini ialah ketajaman fikirannya. Ketika Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia baru-baru ini, Tun Mahathir memberikan ulasan yang penuh maklumat, mendalam dan tersusun — seolah-olah beliau dibantu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI). Keupayaan untuk mengingati butiran sejarah, pengalaman peribadi, serta analisis dasar awam pada usia sebegini amat luar biasa.
Bagi banyak individu, bahkan yang belum mencapai usia 60-an sekalipun, cabaran seperti kemerosotan ingatan, kekeliruan dan bahkan gejala nyanyuk sudah mula dirasai.
Namun, Tun Mahathir membuktikan bahawa usia lanjut tidak semestinya bermaksud kemunduran minda, sebaliknya boleh menjadi tempoh kematangan akal yang paling tinggi jika dijaga dengan disiplin dan semangat.
Sumbangan Tun Mahathir kepada negara tidak perlu diperincikan satu persatu. Di bawah pentadbirannya, Malaysia mengalami lonjakan pembangunan dari segi infrastruktur, pendidikan, ekonomi dan diplomasi.
Namun, yang lebih mengesankan ialah hakikat bahawa beliau sendiri menjadi simbol kepada kemajuan itu. Bukan sahaja dari segi dasar negara, tetapi juga dari sudut pengurusan usia, pemikiran dan ketahanan diri.
Tun Mahathir bukan sekadar seorang negarawan. Beliau kini menjadi contoh hidup kepada bagaimana seorang manusia boleh terus menyumbang walau setelah melewati usia yang kebanyakan orang anggap sebagai “waktu rihat”. Ketokohan beliau kini merangkumi dua dimensi: sebagai pembina negara dan sebagai ikon ketahanan usia.
Secara peribadi, saya merasa bertuah kerana pernah bersama-sama beliau selama lapan tahun dalam pelbagai usaha menentang ekstremisme dan memperkukuh kesederhanaan dalam masyarakat.
Pengalaman itu bukan sahaja membuka mata terhadap kecekapan dan ketelitian beliau dalam menangani isu-isu besar negara, tetapi juga memperlihatkan sisi insani seorang pemimpin yang tegas tetapi tetap berjiwa besar.
Sebagai seorang Melayu Patani yang merupakan warganegara Thailand dan menetap di Bangkok, saya merasa amat bangga dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Lebih daripada itu, saya juga bersyukur kepada Allah swt kerana diberikan kesempatan untuk menyumbang dalam perjuangan beliau ketika saya berkhidmat di Utusan Malaysia dahulu.
Semoga Allah swt terus mengurniakan kesihatan dan keberkatan usia kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dalam dunia yang sentiasa mencari teladan, Malaysia masih memiliki satu seorang tokoh yang telah melepasi usia satu abad, namun pemikirannya masih tajam dan relevan.
Sejarah akan terus mengingatinya dan beliau sebagai Maha Firaun yang baik masih mempunya banyak legasi yang perlu dipelajari.
Tulisan ini juga disiarkan di status facebook Astora Jabat – Beliau sebelum ini banyak menulis di akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia.