“Jangan Hanya Minta Rakyat Faham”: Hamzah Bidas Kerajaan Gagal Selami Derita Rakyat

KUALA LUMPUR | 3 Apr 26 — Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin membidas kerajaan kerana didakwa gagal memahami realiti kesusahan rakyat susulan kenaikan mendadak harga diesel yang kini melepasi RM6 seliter, satu rekod tertinggi dalam sejarah negara.

Dalam kenyataan tegas, beliau menyifatkan pendekatan kerajaan yang meminta rakyat “memahami keadaan” sebagai tidak memadai, sebaliknya menuntut kepimpinan negara turun melihat sendiri tekanan yang dihadapi rakyat.

“Jangan hanya minta rakyat faham. Perdana Menteri juga kena faham akan penderitaan rakyat,” katanya dalam satu hantaran video di facebook.

Hamzah turut mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri bahawa 90 peratus rakyat tidak terkesan dengan kenaikan harga bahan api, dengan menyifatkannya sebagai bercanggah dengan realiti di lapangan.

Menurut beliau, kenaikan diesel akan mencetuskan kesan berantai yang meluas — daripada kos pengangkutan hingga harga makanan, utiliti, perumahan dan pendidikan.

“Akhirnya rakyat yang akan tanggung beban ini,” katanya.

Dalam hujahnya, Hamzah menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh sekadar bersandarkan faktor global seperti konflik Timur Tengah, kerana Malaysia sendiri meraih keuntungan besar daripada eksport LNG yang mencecah antara RM40 bilion hingga RM50 bilion setahun.

“Kalau harga minyak naik, hasil negara juga meningkat. Jadi kenapa rakyat masih terbeban?” soalnya.

Beliau turut mendedahkan kesan langsung kepada sektor pertanian, khususnya pesawah yang kini berdepan lonjakan kos operasi daripada sekitar RM2,000 kepada lebih RM3,000 bagi setiap ekar.

Menggambarkan tekanan itu, Hamzah berkongsi luahan pesawah yang disifatkannya sebagai amat membimbangkan: “Apakah kami akan berjihad untuk bertambah miskin?”

Katanya, situasi ini bukan sahaja menekan pendapatan petani, malah berisiko menjejaskan keselamatan makanan negara jika mereka berhenti menanam.

Hamzah memberi amaran bahawa kegagalan menangani isu kos diesel boleh memaksa negara bergantung kepada import makanan pada harga lebih tinggi, sekali gus meningkatkan beban subsidi kerajaan pada masa depan.

“Jika pesawah berhenti, kita terpaksa import — dan kosnya mungkin lebih tinggi daripada menyokong mereka hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan segera memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan langkah menyeluruh meredakan tekanan rakyat, termasuk merangka pelan kontijensi nasional.

Hamzah turut mencadangkan supaya skop bantuan BUDI diperluaskan dengan menaikkan had kelayakan pendapatan agar lebih ramai golongan terjejas seperti penjaja dan peniaga kecil dapat dibantu.

“Ini bukan soal menyalahkan sesiapa, tetapi mencari penyelesaian bersama demi rakyat dan negara,” katanya.

Untuk rekod, ketika ini, harga diesel antara Semenanjung (RM5.52–RM6.02) dan Sabah/Sarawak (RM2.15), yang dilihat menimbulkan persepsi kos yang tidak adil. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share