
KUALA LUMPUR, 29 Okt 25 — Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan BERSATU, selepas perkhidmatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) ditamatkan baru-baru ini.
Dalam kenyataan rasmi kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khaliq menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang pernah diberikan, namun menegaskan bahawa beliau berhak bersuara dalam semangat demokrasi parti — termasuk menyatakan pandangan yang tidak sehaluan dengan kepimpinan.
“Saya menghormati keputusan tersebut, namun saya percaya hak untuk menyuarakan pandangan dan pendirian yang berbeza merupakan sebahagian daripada semangat demokrasi dalam parti yang kita cintai,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar pelan peralihan kepimpinan (succession plan) dilaksanakan segera dan berhemah bagi memastikan kelangsungan serta perpaduan dalam parti.
“Pandangan ini lahir atas dasar kasih dan tanggungjawab terhadap parti, bukan atas niat untuk menentang kepimpinan,” ujarnya.
Khaliq menegaskan bahawa pelantikan ke Majlis Pimpinan Tertinggi selepas ini seharusnya dibuat berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan prinsip perjuangan, bukannya sekadar melahirkan barisan “Yes Man.”
“Parti yang kuat terbina daripada kepelbagaian pandangan dan keberanian menyatakan kebenaran,” tegasnya lagi.
Kenyataan Khaliq dilihat sebagai cerminan ketegangan yang semakin teruk antara kelompok kepimpinan lama yang masih setia kepada Muhyiddin dan kumpulan baharu yang mendesak pembaharuan struktur parti.
Tindakan ke atas Khaliq juga memberi isyarat jelas bahawa desakan untuk peralihan kepimpinan semakin mendapat perhatian di peringkat bahagian dan negeri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.