
KUALA LUMPUR, 25 Okt 25 — Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Pulau Pinang terus meningkat kepada 2,885 orang daripada 867 keluarga setakat jam 8 pagi ini, berbanding 1,756 mangsa semalam.
Menurut laporan terkini daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), peningkatan ketara itu disebabkan limpahan air hujan berterusan di beberapa daerah rendah yang masih belum surut sepenuhnya.
Di Pulau Pinang, sebanyak 1,027 mangsa daripada 280 keluarga kini ditempatkan di tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan tiga daerah utama.
Daripada jumlah itu, Daerah Seberang Perai Utara mencatatkan jumlah tertinggi dengan empat PPS menempatkan 778 mangsa daripada 212 keluarga.
Sementara itu, Seberang Perai Tengah menempatkan 217 mangsa daripada 58 keluarga di dua PPS, manakala Barat Daya mempunyai 32 mangsa daripada 10 keluarga di satu PPS.
Secara keseluruhan, Pulau Pinang merekodkan 344 lelaki dewasa, 335 wanita dewasa, 173 kanak-kanak lelaki, 147 kanak-kanak perempuan serta 28 bayi.
Di Kedah, sebanyak 1,858 mangsa daripada 587 keluarga kini berlindung di 14 PPS yang dibuka di empat daerah.
Kulim merupakan daerah paling terjejas dengan sembilan PPS menempatkan 1,470 mangsa daripada 449 keluarga.
Ini diikuti Baling dengan empat PPS (251 mangsa), Pokok Sena satu PPS (85 mangsa) dan Kuala Muda satu PPS (52 mangsa).
Pihak berkuasa negeri memaklumkan bahawa pasukan keselamatan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba dan Penyelamat, serta polis terus menjalankan pemantauan rapi dan membantu pemindahan penduduk di kawasan berisiko.
Cuaca di kebanyakan kawasan terjejas dilapor masih mendung dengan hujan renyai, dan paras air sungai utama berada pada tahap waspada.
Agensi Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangka hujan berserta ribut petir akan berterusan di utara Semenanjung dalam tempoh dua hari akan datang. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.