MCA, Putra Tuntut KPKT Dedah Butiran Penuh Projek MyKiosk

KUALA LUMPUR , 21 MEI – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming terus berdepan tekanan apabila Pemuda MCA Pahang mendesak beliau mendedahkan butiran penuh projek MyKiosk yang kini dikaitkan dengan dakwaan ketidaktelusan kos dan lokasi penempatan yang dipertikai.

Sayap pemuda parti itu menuntut agar semua dokumen berkaitan – termasuk kontrak, proses perolehan dan sebut harga sebenar setiap unit kiosk – didedahkan kepada umum demi memastikan ketelusan dalam penggunaan dana awam.

“Kami juga mendesak supaya satu siasatan bebas dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) atau pasukan penyiasat yang benar-benar berkecuali. Rakyat berhak tahu ke mana wang mereka dibelanjakan,” kata kenyataan Pemuda MCA Pahang baru-baru ini.

Kenyataan itu hadir susulan penjelasan Nga yang menegaskan harga RM25,000 bagi setiap unit kiosk adalah harga siling ditetapkan KPKT, dan kontraktor sepatutnya menawarkan harga lebih rendah. Beliau turut mempertahankan peningkatan kos dengan alasan reka bentuk MyKiosk 2.0 kini lebih lengkap dan mesra peniaga.

Bagaimanapun, penjelasan itu tidak meredakan keraguan pelbagai pihak.

Sementara itu, Ketua Wanita Putra, Nurhafizah Jamalludin turut membangkitkan persoalan mengenai lokasi penempatan kiosk yang menurutnya “tidak strategik dan membazir”.

“Ada kiosk yang dibina di pinggir hutan, hujung jalan dan kawasan sunyi. Ia seolah-olah dibuat hanya untuk menghabiskan peruntukan, bukan membantu peniaga kecil seperti yang dicanangkan,” katanya sambil mencabar Nga untuk mendedahkan butiran spesifikasi penuh termasuk kos pemasangan dan senarai kontraktor.

Projek MyKiosk adalah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyediakan ruang niaga bersaiz kecil kepada golongan B40 dan peniaga mikro dengan sewaan berpatutan, bertujuan meningkatkan taraf ekonomi komuniti setempat.

Namun, dengan nilai projek yang dipercayai melibatkan perbelanjaan mencecah jutaan ringgit, pihak pembangkang dan NGO kini menuntut agar setiap aspek pelaksanaannya diaudit secara terbuka.

Nga sebelum ini berkata pihaknya terbuka untuk disiasat oleh mana-mana badan berautoriti termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share